Laporkan kes penderaan

Admin

SEBERANG JAYANasib pasangan warga emas yang daif dan dipercayai turut menjadi mangsa dera anak mereka sendiri memperoleh perhatian Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Seberang Jaya dan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Tengah di sini baru-baru ini.

Lanjutan itu, pasangan yang menetap di Taman Sembilang di sini terpaksa mengambil upah mencuci pinggan di salah sebuah kedai makan berdekatan menerima sumbangan wang tunai dan barang makanan asas daripada pejabat daerah baru-baru ini.

Dalam pada itu, PPK Seberang Jaya, Abdul Jalil Che Ros mengucapkan rasa syukur dan terima kasih di atas inisiatif pejabat daerah yang prihatin dengan masalah dihadapi pasangan berkenaan.

“Berapa sangat yang mereka mampu peroleh dalam usia emas begini? Itupun hanya isteri sahaja yang berkerja. Suami pula lumpuh dan hanya mampu bergerak dengan bantuan kerusi roda.

“Sebelum ini, mereka hidup dalam ketakutan apabila anak lelaki tunggal (kini di penjara) sering bertindak di luar dugaan dan sering memukul apabila kehendaknya tidak dituruti.

“Terima kasih di atas keprihatinan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Tengah,’’ katanya ketika mengadakan lawatan ke kediaman pasangan tersebut di sini baru-baru ini.

Turut serta, Penghulu Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, Mohd. Yusof Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Semilang, Omar Abdullah.

Dalam pada itu, Abdul Jalil turut menyarankan para penduduk untuk melaporkan kepadanya kes-kes penderaan dan keganasan rumahtangga yang berlaku di sekitar kawasan masing-masing.

PASANGAN suami isteri yang memperoleh perhatian PPK Seberang Jaya dan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah di sini.
PASANGAN suami isteri yang memperoleh perhatian PPK Seberang Jaya dan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah di sini.