GEORGE TOWN – Sejumlah 270,879 atau 71.8 peratus daripada keseluruhan 376,817 pemilik lot tanah yang terlibat dengan semakan semula kadar cukai tanah di Pulau Pinang hanya membayar kurang daripada RM200.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan bahawa struktur cukai tanah baharu yang dirangka adalah sejumlah 63,324 akaun lain membayar cukai dalam koridor kadar RM201 hingga RM500, sementara 88.6 peratus daripada pemilik tanah.
“Ini adalah situasi sebenar susulan penyusunan semula kadar cukai tanah (yang mana) bagi pemilik yang membayar antara RM1,000 hingga RM5,000, majoritinya jatuh di bawah kategori industri dan komersial,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Azmi Alang di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 11 Mei 2026.
Walaupun semakan semula ini dianggarkan mampu menjana hasil tambahan antara RM90 juta hingga RM100 juta, Kon Yeow menjelaskan bahawa jumlah sebenar yang dijangka diterima kerajaan negeri adalah sekitar RM50 juta sahaja setelah mengambil kira faktor diskaun, rebat, dan proses klasifikasi semula tanah.
Menurut beliau, langkah berkaitan diambil bagi memastikan Pulau Pinang mempunyai sumber pendapatan yang mampan untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Menjawab soalan ADUN Teluk Bahang, Kol (B) Muhamad Kasim pula, beliau menjelaskan kenaikan cukai di beberapa kawasan adalah disebabkan proses klasifikasi semula tanah luar bandar kepada tanah bandar.
Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menjelaskan bahawa banyak kawasan yang telah mengalami pembangunan pesat seperti Bukit Jambul, Bayan Baru, Zon Industri Bebas (FIZ) Bayan Lepas, dan Seberang Jaya sebelum ini masih menikmati kadar luar bandar yang rendah.
Sebagai contoh, beliau menyatakan bahawa kawasan industri FIZ Bayan Lepas sebelum ini hanya membayar RM1.08 setiap meter persegi berbanding RM1.29 di Perai.
Di sebalik pelaksanaan semakan semula kadar cukai tanah, jelasnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan ruang untuk pemilik tanah yang tidak berpuas hati untuk membuat rayuan berwajib di pejabat tanah daerah masing-masing, sebagaimana pengumuman langkah penambahbaikan kriteria rayuan yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri demi memastikan pertimbangan yang lebih adil.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING & SIEW CHIA EN