79,909 ekar tanah di Seberang Perai berpotensi untuk pertanian bandar

SEBERANG JAYA – Seluas 79,909 ekar tanah di kawasan Seberang Perai berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai tapak pertanian bandar.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, tanah yang dikenal pasti tersebut adalah merangkumi tanah hak milik individu dan rizab kerajaan yang tidak dibangunkan atau kurang digunakan.

“Apabila kita bercakap soal pertanian bandar, kita tidak lagi bercakap tentang tanaman di tepi atau belakang rumah, sebaliknya membabitkan projek besar-besaran yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk.

“Selain itu, projek pertanian bandar secara besar-besaran juga mampu menghasilkan food bank (bank makanan) yang banyak dan seterusnya menghasilkan bandar yang mampan untuk penduduk di Seberang Perai.

Sr. Rozali Mohamud menyampaikan hadiah Program Kebun Bandar kepada salah seorang pemenang.

“Oleh itu, MBSP komited untuk menerokai bidang ini bersama-sama dengan penduduk Seberang Perai demi manfaat bersama,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi Program Kebun Bandar MBSP Bersama PWDC dan JPWK dekat Menara Bandaraya, Bandar Perda di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis bagi MBSP; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Ketua Perunding Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Che Zalina Zulkifli; pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid dan ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan MBSP.

Difahamkan, Program Kebun Bandar merupakan anjuran bersama antara MBSP dengan PWDC dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) yang dianjurkan  dari 15  hingga 29 November 2021.

Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Rozali memberitahu bahawa setakat ini terdapat 30 projek komuniti telah dibangunkan membabitkan ketiga-tiga daerah di Seberang Perai.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 11 projek pertanian komuniti dilaksanakan di Seberang Perai Utara (SPU), 12 projek di Seberang Perai Tengah (SPT) dan tujuh lagi di Seberang Perai Selatan (SPS).

“Projek kebun komuniti merupakan aspek penting untuk masa depan kerana akan memberi manfaat berganda kepada masyarakat selain berpotensi untuk menyediakan peluang pekerjaan, keusahawanan dan perpaduan sosial,” katanya.

Sr. Rozali Mohamud semasa menyampaikan ucapan pada majlis penyampaian hadiah Program Kebun Bandar anjuran bersama MBSP, PEDC dan JPWK.

Tambahnya lagi, penganjuran program tersebut adalah bertujuan menggalakkan orang awam untuk melakukan aktiviti hijau di rumah.

“Secara keseluruhan, kami berjaya menerima 22 penyertaan, dan kami akan terus menganjurkan lebih banyak program sebegini pada masa hadapan.

“Justeru, adalah diharap aktiviti menanam sayur-sayuran di hadapan, tepi atau belakang kawasan rumah, beranda dan di atas bumbung rumah dapat memberi nilai tambah kepada penduduk seiring dengan tuntutan norma baharu akibat pandemik COVID-19,” ujarnya lagi.

Dalam acara berasingan selepas itu, Rozali memaklumkan bahawa sijil hak cipta bagi E-Sport Digital Single Use Plastic dan Edutainment Green Games telah mendapat kelulusan daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Permainan Pendidikan Digital Single Use Plastic merupakan kerjasama strategik MBSP dengan UPSI yang dilancarkan pada 20 Disember 2020.

“Pada awal tahun 2021, MBSP telah mengemukakan permohonan hak cipta kepada MyIPO dan mendapat kelulusan secara rasmi pada 15 Oktober lalu.

“Pencipta sah untuk hak cipta ialah Dato’ Sr. Rozali Mohamud, Prof. Madya Dr. Che Zalina Zulkifli dan Chew Eng Seng selaku pemunya dan pencipta permainan pendidikan digital ini,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBSP