Pulau Pinang tetap sasaran baharu, tanam 600,000 pokok menjelang 2030

Admin

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menetapkan sasaran baharu bagi penanaman 600,000 pokok di seluruh negeri menjelang tahun 2030.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini telah meningkatkan sasaran penanaman pokok baharu kepada 500,000 pokok.

 

JAGDEEP Singh Deo (tiga dari kanan) menyempurnakan penanaman pokok di tapak Projek Kebun Komuniti Pulau Pinang dekat Jalan York di sini.

Pada 2018, Kerajaan Negeri meningkatkan sasaran kepada 500,000 pokok baharu ditanam menjelang tahun 2030.

 

“(Dan) sasaran ini dilihat selaras dengan kempen penanaman 10 juta pokok setahun di seluruh negara oleh Kerajaan Persekutuan serta agenda negeri ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ujarnya pada sidang media sejurus meninjau tapak Projek Kebun Komuniti dekat Jalan York di sini hari ini.

 

 

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia @Pulau Pinang, Tpr. Mohd. Bashir Sulaiman; Ketua Penolong Pengarah PLANMalaysia @Pulau Pinang, Mohd. Rozaimi Abdul Rahim; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Nicholas Theng Jie Wey dan Harvinder Singh serta Pembantu Kesihatan Awam (Kanan) MBPP Zon Jelutong, Khoo Eng Chong.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu bahawa sejak tahun 2018 sehingga November 2021, sejumlah 470,050 pokok ditanam oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan di negeri ini.

 

MBPP telah menanam sebanyak 97,981 pokok manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebanyak 61,779 pokok.

ANTARA hasil tanaman yang bakal dituai di sini.

“Kerajaan Negeri akan terus menanam lebih banyak pokok dan saya sendiri yakin bahawa kita mampu mencapai sasaran 600,000 pokok menjelang tahun 2030,” katanya.

 

Terdahulu, Jagdeep meluangkan masa meninjau kawasan kebun komuniti di atas tanah milik MBPP di sini.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap agar program kebun komuniti seperti ini dapat diperluaskan seluruh negeri bagi memaksimumkan penggunaan tanah dan ruang.

 

Usaha ini bukan sahaja membantu menambah baik alam sekitar malah dapat meringankan beban kewangan dalam kalangan komuniti,” jelasnya.

 

Difahamkan, sebanyak 100 set hidroponik dan alatan berkebun diserahkan kepada wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk diagihkan kepada penduduk setempat. Projek Kebun Komuniti Pulau Pinang diusahakan secara bersama oleh pihak PLANMalaysia @Pulau Pinang, MBPP dan Pejabat ADUN Datuk Keramat.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN