90% setuju MPSP tumpu kebersihan, keselamatan

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM – Lebih 90 peratus daripada 980 responden bersetuju bahawa Bajet Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi tahun 2015 perlu memberi keutamaan pada aspek kebersihan serta keselamatan dan lalulintas.

Manakala, 78 peratus responden bersetuju MPSP memberi tumpuan pada aspek infrastruktur dan kemudahan awam, diikuti, kawalan banjir (68) dan penguatkuasaan undang-undang (65).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, kaji selidik serta majlis dialog dengan pelbagai komuniti masyarakat dapat membantu MPSP merangka bajet tahunan serta program komuniti sepanjang tahun depan.

“Jika Taipei (Taiwan) dan Singapura mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk berubah, kita (MPSP) perlu mengambil masa lebih singkat untuk mewujudkan transformasi bandar,” ujarnya pada Hari Dialog MPSP 2015 di Auditorium Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, MPSP mampu mentransformasikan Seberang Perai dengan memberi penekanan pada tiga aspek iaitu pendidikan, penguatkuasaan dan kejuruteraan bandar.

Nada sama turut disampaikan Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud dalam ucapannya.

“Kaji selidik dan dialog ini membantu MPSP merangka program untuk komuniti.

“Sebanyak 49 tadika menyertai program sekolah hijau…projek kebersihan ini menggambarkan kita (Seberang Perai) melangkah ke arah yang lebih baik,” ujarnya.

Tambah beliau, hasil soal selidik yang dijalankan pada 15 April hingga 18 Mei lepas akan dibukukan untuk memudahkan proses lanjut MPSP.

Dalam perkembangan berkaitan, MPSP turut melancarkan kaji selidik menerusi aplikasi ‘Projek ARM – Bajet MPSP’ yang boleh dimuat naik menerusi android telefon pintar masing-masing bagi berkongsi pendapat ke arah merangka Bajet MPSP 2015.

Ahli Majlis bagi MPSP, P. David Marshel selaku pengarah projek itu sebelum ini memberitahu, pihaknya mensasarkan 5,000 responden dalam tempoh 15 Mei hingga 16 Jun ini.