Bas ekspres – naik turun hanya di Terminal Sungai Nibong

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menasihatkan orang ramai supaya tidak menaiki bas ekspres di sekitar kawasan Komtar berikutan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah membatalkan permit-permit laluan syarikat terbabit dan perkhidmatannya di sini mulai 1 Jun ini.

Ahli Majlis MPPP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas MPPP, Mohd. Sabri Osman berkata, larangan tersebut adalah sejajar dengan pewartaan Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong sebagai terminal utama mengambil dan menurunkan penumpang.

“Larangan ini adalah sejajar dengan Perintah Pengangkutan Jalan mengikut Seksyen 72 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang telah dibuat oleh kita (MPPP) dengan mewartakan Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong sebagai terminal utama.

“Semua pengendali bas ekspres perlu mengambil dan menurunkan penumpang di Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong sahaja,” tegasnya pada satu sidang media selepas tamatnya Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Sehubungan dengan penguatkuasaan tersebut, mulai 1 Jun lalu, pihak SPAD telah menjalankan rondaan setiap hari dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali bas ekspres yang masih berdegil menjalankan operasi di sekitar bangunan Komtar.

Mengulas lanjut, ketika ditanya berhubung larangan pengoperasian bas ekspres di kawasan Komtar, Mohd. Sabri menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah salah satu cara menambah baik pengurusan lalulintas serta pengangkutan awam di kawasan pulau negeri ini.

“Bas ekspres ini bukan sahaja memakir di bahu jalan dan menyebabkan kesesakan pada waktu puncak, tetapi, turut membahayakan keselamatan dan nyawa penumpang.

“Risiko kemalangan amat tinggi kerana penumpang diturunkan di atas jalan raya. Ia bukan kawasan yang sesuai untuk mengambil atau menurunkan penumpang,” tegas beliau.