ADUN cadang serah laporan audit keselamatan jalan kepada MBPP

PULAU TIKUS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey bercadang mengemukakan laporan pengauditan keselamatan jalanraya yang dijalankan pihaknya kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai data asas untuk membantu menjayakan Kempen Keselamatan Pejalan Kaki dan Penunggang Motosikal di sini.

Katanya, data tersebut juga bakal membantu pelaksanaan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang 2015 – 2020 yang dilancarkan tahun lepas.

“Dalam proses pengauditan tersebut, para sukarelawan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dalam kiraan dua atau empat orang bagi setiap 200 meter sepanjang sembilan jalan utama.

“Kita (Jawatankuasa Pelaksana) menempatkan sukarelawan-sukarelawan ini di lokasi di mana pejalan kaki melintas tanpa menggunakan lintasan isyarat serta di kawasan yang dikenalpasti kerap digunakan oleh pejalan kaki mahupun penunggang motosikal sebagai laluan pintas.

“Tujuannya adalah untuk mengenal pasti titik laluan di sepanjang jalan termasuk menganggarkan tahap bahaya bagi pengguna jalanraya yang melintas di lokasi dianggap ‘mudah’ bagi pejalan kaki,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat ADUN Pulau Tikus di Jalan Jones di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet. Selain ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pantai Molek dan Midlands Berjaya, turut terlibat adalah kira-kira 200 kakitangan AXA Affin General Insurance Berhad (AXA).

Antara jalan yang terlibat adalah Jalan Kelawai, Jalan Tanjung Tokong, Jalan Fettes, Jalan Mount Erskine, Jalan Bagan Jermal, Persiaran Gurney, Jalan Pemenang, sebahagian Jalan Cantonment dan Jalan Burma sehingga ke Kedai Biskut Him Heang.

Dalam pada itu, Nivet memberitahu, pihaknya akan sentiasa menyokong kempenkempen berkaitan keselamatan jalanraya sebagai langkah advokasi mendidik warga Pulau Pinang untuk menjadi pengguna yang berhemah.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang dan bercadang untuk menganjurkan latihan kesedaran keselamatan jalanraya kelak,” jelas beliau.

AXA Affin General Insurance Berhad merupakan anak syarikat AXA Group dan Affin Holding Berhad yang menyediakan insurans am di Malaysia serta mempunyai kepakaran dalam menyediakan penyelesaian perlindungan komprehensif.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);