KN belanja hampir RM1 juta naik taraf kemudahan Taman Seri Damai

BATU LANCHANG – Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM1 juta dalam tempoh enam tahun lalu bagi menaiktaraf kemudahan utama di tiga blok 16 tingkat, flat Taman Seri Damai di sini.

Kos tersebut termasuk pemasangan tiga unit lif baharu dengan kos berjumlah RM153,330 setiap satu pada tahun 2011, 2012 dan 2014 serta penggantian tangki air baharu di Blok 25 dengan kos RM162,400 pada 2012, RM182,426 (2014) di Blok 21 dan terkini berjumlah RM195,000 di Blok 23.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika hadir pada Majlis Perasmian Pemasangan Tangki Air Baharu di Blok 23 Taman Seri Damai memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha menaiktaraf dan memperbaiki secara berperingkat di 49 rancangan perumahan Kerajaan Negeri seluruh Pulau Pinang.

“Semua ini (pembiayaan kerja-kerja menaiktaraf dan pembaikan) dapat dilaksanakan kerana kita (Kerajaan Negeri) mampu menikmati lebihan belanjawan setiap tahun dengan mengamalkan pentadbiran bersih dan anti rasuah.

“Bukannya seperti dakwaan sesetengah pihak yang memfitnah lebihan belanjawan diperoleh Kerajaan Negeri adalah melalui penjualan tanah.

“Ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan Negeri memperoleh pulangan 35 kali ganda melalui perjanjian jual beli tanah berjumlah 106 ekar (bernilai RM1.1 bilion) sedangkan BN (Barisan Nasional) dulu jual 3,661 ekar untuk RM1 bilion sahaja,” ucapnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Law Heng Kiang serta beberapa Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Dalam pada itu, Heng Kiang ketika ditemui memberitahu bahawa bagi kerja-kerja penggantian tangki air baharu, 80 peratus kos dibiayai oleh Kerajaan Negeri melalui tabung Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang (HAPPY!), manakala baki 20 peratus lagi ditanggung oleh pihaknya selaku ADUN.

“Sejumlah RM539,826 dibelanjakan bagi penggantian tangki air baharu dan RM459,990 bagi menampung perbelanjaan menaiktaraf kemudahan lif di ketiga-tiga blok di sini.

“Kami (Kerajaan Negeri) berharap para penduduk di sini dapat memberi kerjasama dalam mengekalkan kemudahan sedia ada demi kepentingan semua,” ujar beliau.

Flat kos rendah Taman Seri Damai mempunyai tiga blok iaitu Blok 21, Blok 23 dan Blok 25 dengan kepadatan 570 unit rumah.

}