MP puji perpaduan kaum penduduk Island Glades

SERI DELIMA – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh memuji perpaduan dan keharmonian yang wujud dalam kalangan penduduk berbilang kaum Island Glades di sini.

Beliau berkata demikian kepada Buletin Mutiara selepas majlis menyalakan lantera atau tanglung berlampu di kejiranan di sini sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

“Saya sangat gembira melihat semangat perpaduan dan keharmonian kaum di kawasan kejiranan ini.

“Apatah lagi, bukan sahaja kaum Cina hadir menjayakan majlis, tetapi juga kaumkaum lain dari pelbagai latar belakang turut memeriahkannya,” katanya yang turut mengedarkan buah limau kepada penduduk di sini.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer. Kira-kira 200 tanglung dipasang sekitar Taman Kejiranan Karpal Singh di sini merentasi Jalan Gangsa dan Taman Kejiranan Lintang Delima.

Ketika ditemui, Rayer sempat berkongsi kenangan peribadi beliau bersamasama mendiang Karpal Singh (mantan Ahli Parlimen Bukit Gelugor) sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Sejak 2004, saya turut serta dalam program yang sama bersama-sama mendiang.

“Kini, tradisi ini (nyalakan tanglung dan edaran buah limau) diteruskan bersama anak mendiang yang juga Ahli Parlimen di kawasan ini,” ujar beliau.