ADUN gesa jaga kebersihan Taman Chai Leng

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

PERAI – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy baru-baru ini mengadakan lawatan kerja di sekitar Taman Chai Leng ekoran kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekitar kawasan tersebut apabila berlakunya hujan lebat.

Menurut beliau, lawatan itu adalah bagi mengenalpasti punca masalah kepada banjir kilat itu selain pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk sekitar tentang kebersihan yang tidak terurus.

“Daripada tinjauan saya pada hari ini, didapati keadaan di sekitar Pasar Awam Taman Chai Leng dan kawasan komersial mempunyai tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

“Ini adalah berikutan penjaja, orang awam dan pengusaha restoran yang tidak menjaga kebersihan dan membuang sisa makan ke dalam longkang sekaligus menyebabkan ia tersumbat dan menghalang saliran air,” ujarnya pada sesi lawatan berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel dan M. Satees serta pegawai dari Jabatan Perbandaran, Kejuruteraan dan Perlesenan MPSP.

Tambah Ramasamy, keadaan longkang yang telah 30 tahun tidak dinaiktaraf turut menyumbang kepada masalah banjir kilat yang berlaku.

“Ada juga longkang yang pecah dan uzur kerana sudah lama tidak dinaiktaraf dan serpihan daripada kerosakan itu menyebabkan longkang tersumbat.

“Turut ditambah, sikap kebanyakan pengusaha restoran yang tidak mempunyai grease trap. Minyak yang dilepaskan ke dalam longkang menjadi beku dan menghalang saluran air,” tegas beliau.

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai menyatakan bahawa penduduk dan orang ramai di kawasan sekitar memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan.

“Tanggungjawab menjaga kebersihan ini bukanlah terletak di atas bahu MPSP sahaja, malah, penduduk dan peniaga di kawasan ini.

“MPSP sentiasa menjalankan kerja pembersihan di taman ini, tetapi, tanpa kesedaran orang ramai keadaan ini tidak akan berubah,” serunya.