Lebar jalan, tidak tebang pokok – ADUN

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

AIR ITAM – Projek pelebaran Lorong Batu Lanchang susur ke Jalan Masjid Negeri (bersebelahan kediaman rasmi rumah Pegawai Daerah Timur Laut) di sini kini telah 73 peratus siap, maklum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai baru-baru ini.

Menurutnya, kelewatan projek yang sepatutnya siap pada Julai lalu adalah disebabkan beberapa perkara teknikal yang berlaku sepanjang proses berkenaan.

“Antaranya, proses pemindahan pokok-pokok di tepi jalan yang mana ia tidak ditebang sebaliknya, dipindahkan ke bahagian belakang kediaman Pegawai Daerah (Timur Laut) buat sementara waktu.

“Proses pemindahan 32 pokok ini agak sukar sehingga menyebabkan projek ini mengambil sedikit masa. Tambahan pula, pemindahan yang dilakukan adalah amat jarang dilakukan,’’ katanya ketika mengadakan sesi lawatan ke tapak projek di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hon Wai memberitahu, beliau amat terkilan kerana selepas usaha memindahkan pokok-pokok tersebut dijalankan, hanya 17 yang hidup manakala bakinya terpaksa ditebang kerana mati.

“Bagaimanapun, sekurangkurangnya kita cuba selamatkan baki pokok yang ada dalam menjamin kelestarian alam sekitar selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjaga kehijauan,” ujarnya.

Ekoran kelewatan projek tersebut, Hon Wai memberitahu bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana kos projek adalah dimaklumkan tidak akan meningkat dan kerja-kerja dijangka siap sepenuhnya Oktober ini.

“Walaupun tidak siap sepenuhnya, jalan ini sudah dibuka dan ini sedikit sebanyak dilihat dapat menyuraikan kesesakan yang berlaku.

“Ini adalah berikutan kedudukan sekolah serta kepadatan penduduk di kawasan sekitarnya,’’ jelas beliau.

Turut bakal dinaiktaraf adalah jalan berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Georgetown dan Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang bagi memudahkan bas-bas sekolah dan kenderaan ibu bapa berhenti menaikturunkan penumpang masing-masing.