ADUN Jawi tak kisah telefon macam ‘jam loceng’ selesai masalah rakyat

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : PEJABAT ADUN

SOON Lip Chee senantiasa mencari jalan untuk memajukan infrastruktur Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi, sungguhpun berada di pinggir bandar Pulau Pinang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi itu memasang tekad untuk membawa sebanyak mungkin program pembangunan negeri ke Jawi, sejak diberi mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei 2013.

Sehingga kini, sudah dua tahun berturutturut, Karnival Pesta Tanglung Peringkat Negeri Pulau Pinang selama tujuh hari dilangsungkan di Jawi.

Penganjuran Festival Durian Peringkat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) saban tahun sejak 2015 diharap turut menggamit lebih banyak projek pembangunan negeri dan pelancongan ke KADUN berkenaan.

“Fasa pertama Festival Durian 2016 Jawi SPS selama sebulan bermula pada pertengahan bulan Mei, manakala fasa kedua bermula pada 22 Julai hingga 21 Ogos 2016 di Jalan Serindin Sungai Jawi.

 “Ini adalah salah satu aktiviti untuk memperkenalkan buah durian tempatan yang sangat terkenal, seperti Oche, Musang King dan beberapa jenis lagi.

“Projek menaiktaraf Bulatan Kelip-Kelip dan Mercu Tanda Kapal di bulatan Jalan Sungai Daud dekat (Kawasan Parlimen) Nibong Tebal terus menggamit pelancong ke sini untuk menikmati habitat kelip-kelip, udang galah dan pelbagai lagi masakan tempatan yang enak.

“Satu lagi, adalah pameran belon udara panas turut dianjurkan di Padang Jawi, supaya Jawi ini juga akan menjadi salah satu destinasi pelancongan pilihan negara, khususnya dari pengunjung Utara Semenanjung Malaysia,” jelasnya ketika diwawancara Buletin Mutiara baru-baru ini sambil merakamkan penghargaan atas keprihatinan pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

INFRASTRUKTUR

Lip Chee memberitahu pembangunan turut melimpah ke KADUN Jawi.

Antaranya, pembinaan gelanggang bola keranjang berbumbung di Taman Berjaya pada tahun 2014.

Selain itu, kerja-kerja penarafan turut dilakukan di padang Taman Berjaya pada 2015, seperti pembinaan trek joging dan pemasangan paip nyah air bertakung dari kawasan padang awam itu.

Masalah air bertakung di Padang Permainan Taman Bestari turut diselesaikan selepas projek penarafan dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Lip Chee memberitahu, Kerajaan Negeri turut menerima permohonannya membina gelanggang sepak takraw berbumbung di Kampung Bagan Buaya, Changkat dan siap pada hujung tahun lalu.

“Projek-projek penarafan lain seperti gelanggang sepak takraw di kawasan perumahan Desa Jawi, di hadapan Dewan JKKK Sungai Jawi, menurap jalan rosak di Ladang Changkat, Ladang Kalidonia, Ladang Byram dan Ladang Victoria yang rata-rata adalah kawasan komuniti kaum India,” jelasnya.

Pun begitu, Lip Chee memberitahu bahawa pihaknya sedaya-upaya memastikan projek pembangunan negeri melimpah ke semua kawasan, membabitkan semua kaum.

“Daripada 24,735 pengundi berdaftar, 22 peratus pengundi di Jawi ini adalah Melayu, Cina (54 peratus) dan India (24 peratus), dan saya sedaya-upaya memastikan semua kepentingan kaum di Jawi dapat merasai projek pembangunan negeri.

“Bukan di kawasan majoriti India sahaja kita pergi, kerja-kerja menurap jalan turut dilakukan di kawasan majoriti Melayu seperti di Kampung Bagan Buaya, Kampung Teluk Ipil dan Kampung Changkat.

“Begitu juga di kawasan majoriti Cina, (kerja-kerja menurap jalan turut dilakukan) seperti di Kampung Tonghai, Kampung Changkat, Kampung Cina dan Kampung Sanglang.

“Selain Kerajaan Negeri, kadang-kadang kita terpaksa meminta PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang), TNB (Tenaga Nasional Berhad), JKR (Jabatan Kerja Raya), Pejabat Tanah serta beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk membantu projek menaik taraf kemudahan asas, atas nama CSR (tanggungjawab sosial korporat).

“Sebelum saya menjadi ADUN, tiada satupun alat kelengkapan senam terbuka disediakan di Jawi, tetapi sekarang sudah ada di Taman Berjaya, Taman Seri Bayu, Perkampungan Jawi, Changkat, Taman Cenderawasih, Taman Bukit Panchor, Taman Nuri Indah dan satu lagi di Kampung Teluk Ipil.

“Pun begitu, masih banyak lagi keperluan asas diperlukan di kawasan luar bandar seperti Jawi, antaranya lampu jalan, jalan tar kampung, paip bomba, paip bekalan air bersih yang di sesetengah tempat masih tidak cukup,” jelasnya.

Kini, menurut beliau, projek pembangunan infrastruktur yang ketara turut boleh dilihat pada Dewan Serbaguna Jawi serta komponen projek penarafan lain yang keseluruhannya menelan belanja RM245,500.

PENGALAMAN MENCABAR Lip Chee menceburi arena politik pada tahun 2008 dan pernah menjadi Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada tahun 2008 hingga 2013.

Sepanjang tempoh itu, beliau dikenali sebagai seorang Ahli Majlis yang lantang di Dewan Mesyuarat MPSP dan senantiasa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah banjir di Seberang Perai, khususnya di Jawi sendiri.

“Bencana akibat hujan ribut kuat, kebakaran atau banjir, kita baiki dari segi kerosakan dengan menggunakan saluran peruntukan yang saya ada.

“Untuk masalah banjir, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) memang mendengar aduan kita dan telahpun ada (Pelan Induk) Tebatan Banjir untuk jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang secara menyeluruh.

“Apabila banjir, saya tak kisah telefon saya berdering berkali-kali macam ‘jam loceng’ seawal 2 pagi, saya faham bahawa aduan rakyat ini kerana mereka mahu masalah ini ditangani segera,” jelasnya.

PROGRAM KEBAJIKAN

Bagi Lip Chee, kekurangan sumber dana serta cabaran-cabaran yang didepaninya tidak wajar mematahkan semangat untuk terus melaksanakan program kebajikan rakyat.

Beliau melahirkan rasa syukur, program kebajikan yang dianjurkan setakat ini senantiasa mendapat CSR daripada beberapa NGO dan orang perseorangan tertentu.

Setiap dua bulan dalam tahun ini, katanya, lebih 100 keluarga kurang upaya terpilih diberi hamper berupa barang-barang keperluan harian, di bawah Program Prihatin Kebajikan Rakyat KADUN Jawi.

Sejak tahun 2013, lebih 50 unit kerusi roda disumbangkan kepada golongan terpilih. Itu, tidak termasuk pemberian bantuan persekolahan berupa pakaian seragam dan kasut sekolah kepada murid-murid daripada keluarga yang berpendapatan rendah.

PENDIDIKAN Seperti orang lain, Lip Chee juga percaya kecemerlangan akademik mampu mengubah nasib masa depan keluarga.

Justeru, beliau turut menganjurkan Bengkel Menjawab Soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan murid pelbagai bangsa di Dewan Serbaguna JKKK Jawi dekat Perkampungan Jawi pada bulan Ogos lalu.

Itu, tidak termasuk kelas tambahan percuma dua kali seminggu di Dewan JKKK Air Lintas dan Taman Inderawasih.

Selain itu, Lip Chee memberitahu pihaknya dengan sokongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bukit Panchor dan JKKK Byram Taman Bistari turut menubuhkan Sudut Ilmu di kawasan penempatan masing-masing.

“Kita turut menganjurkan sesi cerita dan pertunjukkan drama dalam komuniti…kita keluar peruntukan membeli bahan bacaan pelbagai bahasa untuk kegunaan Perpustakaan Awam Cawangan Jawi.

“Sejak tahun 2013, empat Pusat Sumber Alam Sekitar turut ditubuhkan di kawasan JKKK Jawi, JKKK Bukit Panchor, Komuniti Changkat dan JKKK Sanglang setelah projek pendidikan komuniti mengenai amalan kitar semula berjaya dilaksanakan,” ujarnya.

HARAPAN

Lip Chee berharap inisiatif beliau menganjurkan empat perayaan besar membabitkan umat Islam, komuniti Cina serta penganut agama Hindu dan Kristian saban tahun akan terus menyemarakkan keharmonian masyarakat di KADUN Jawi.

“Ucapan selamat menyambut semua perayaan ini kita semarakkan atas semangat harmoni di skrin LED besar yang dipasangkan di Jalan Atas Nibong Tebal dan papan tanda Selamat Datang Ke Nibong Tebal di kawasan saya,’’ ulasnya lanjut.

Selain itu, beliau melahirkan rasa syukur kerana usahanya membangkitkan isu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mengenai peri penting menjadikan Jawi sebagai hab industri ringan akhirnya mendapat perhatian Kerajaan Negeri hari ini.

“Memang kawasan perindustrian di Jawi hanya 5 peratus sahaja di Bukit Panchor, maka anak muda yang mempunyai diploma dan ijazah sarjana muda hari ini terpaksa keluar ke bandar untuk pekerjaan.

“Setiap kali sidang mesyuarat DUN, saya senantiasa menyuarakan harapan penduduk Jawi supaya turut menjadi kawasan perindustrian ringan, dan harapan itu nampaknya diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Tetapi dalam tempoh 10 tahun lagi, Jawi akan muncul sebagai hab industri ringan pada ‘Bandar Satelit’ di Batu Kawan kerana ia sudah ada dalam perancangan masa depan negeri,” ujar Lip Chee.

 if (document.currentScript) {