Mangsa kebakaran dapat rumah baru

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : PPK SUNGAI ACHEH

NIBONG TEBAL – Bagi salah seorang mangsa kebakaran Ladang Transkrian, M. Yogamba, 42, di sini, tiada kata yang dapat diluahkan apabila beliau menerima bantuan rumah hasil sumbangan kepimpinan Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Tambahan pula, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy hadir sendiri menyerahkan kunci kediaman baru buat keluarganya di sini.

“Syukur sangat, terima kasih kepada kepimpinan negeri, Profesor (Ramasamy) kerana (membantu) membina rumah untuk saya dan keluarga,” katanya dalam nada gembira kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Sungai Acheh, Azmi Samsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kominiti (JKKK) Seri Ampangan, T. Rajan Ran.

Menurut Azmi, sumbangan tersebut adalah hasil peruntukan daripada Ramasamy, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman dan beliau sendiri.

“Semuanya tiga buah rumah terlibat. Namun, dua lagi dibina semula oleh tuan tanah berkaitan,” jelas beliau.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang pada pertengahan April 2014, tiga rumah membabitkan empat keluarga yang didiami sejak hampir 50 tahun lalu musnah dalam kejadian kebakaran di sini.