ADUN rakam penghargaan Bajet 2016 beri manfaat kepada penduduk Permatang Pauh

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana mengumumkan empat projek pembangunan untuk penduduk Parlimen Permatang Pauh, semasa membentangkan Bajet 2016 Pulau Pinang baru-baru ini.

“Saya mengalu-alukan pengumuman dan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Ketua Menteri yang komited membangunkan Seberang Jaya dan kawasan Permatang Pauh seiring dengan keperluan dan kehendak rakyat,” ujarnya yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan dalam satu kenyataan di sini.

Bajet 2016 yang dibentangkan pada 6 November lepas antara lain mengumumkan peruntukan RM12 juta untuk pemajuan semula pasar awam dan medan selera Seberang Jaya di atas tapak sedia ada di Jalan Tenggiri.

Guan Eng yang juga ADUN Air Putih turut mengumumkan peruntukan RM9.43 juta pembiayaan untuk pengambilan balik tanah untuk tapak masjid, sekolah agama dan tapak perkuburan serta tapak untuk dewan orang ramai bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Pasir.

Selain itu, Bajet 2016 turut mengumumkan peruntukan sebanyak 22.47 juta untuk projek mitigasi di sekitar kawasan Parlimen Permatang Pauh, meliputi kerja-kerja pembinaan jambatan baru, rumah pam serta menaik taraf kawasan Padang Lalang, Kampung Permatang Rawa, kawasan Kampung Tanah Liat Mukim 20 dan Taman Guru.

Kerajaan Negeri pada tahun depan turut memperuntukkan RM5 juta untuk kerja-kerja penarafan Kolam Renang Awam Seberang Jaya.

Dalam perkembangan lain, Afif turut menyokong langkah Guan Eng mengumumkan pengecualian cukai pintu untuk golongan yang berpendapatan rendah membabitkan jumlah kira-kira RM11.5 juta (RM11,494,135.12).

Tambah beliau, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyerap Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) kira-kira RM19.36 juta yang sepatutnya ditanggung oleh rakyat, sekaligus membuktikan keprihatian Kerajaan Negeri.