Rakyat lebih untung di bawah Bajet 2016 P. Pinang berbanding Pusat – Exco

DATUK KERAMAT – Bajet 2016 Pulau Pinang yang diumumkan baru-baru ini antara lain mengumumkan peruntukan sebanyak RM9.76 juta untuk pemajuan 49 skim perumahan awam, manakala, RM5 juta lain diperuntukan untuk menampung tabungan Akaun Amanah Penyelenggaraan Perumahan Kos Rendah Kerajaan Negeri.

Justeru, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, anggaran belanjawan Kerajaan Negeri kali ini dilihat lebih menguntungkan rakyat Malaysia di Pulau Pinang berbanding Bajet 2016 Kerajaan Pusat yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

“Pulau Pinang menyumbang cukai dalam suatu jumlah yang ketiga tertinggi kepada Kerajaan Pusat, di mana sebanyak RM6.3 bilion telah dibayar tahun lalu (2014).

“Namun, Bajet 2016 yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk Malaysia, benar-benar mengenepikan Pulau Pinang bukan sahaja dalam hal perumahan, bahkan dalam semua aspek,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada Majlis Graduasi dan Penyampaian Hadiah Tadika Ramakrishna Ashrama di sini baru-baru ini.

Jagdeep dalam pada itu turut mempersoal langkah Kerajaan Pusat menangguhkan pemberian peruntukan sebanyak RM117 juta untuk Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang pada tahun depan, sungguhpun disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11 baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep memuji Kerajaan Negeri kerana mengecualikan kutipan cukai pintu bagi rumah perumahan kos rendah dan sederhana rendah pada tahun depan, demi mengurangkan lagi beban hidup rakyat.

“Jumlah terkumpul (kutipan cukai pintu kedua-dua pihak berkuasa tempatan, PBT) bagi tahun 2015 adalah sebanyak RM11,494,135.12 dan saya sepenuhnya memuji negeri Pulau Pinang kerana telah mengutamakan usaha menangani isu kesusahan rakyat,” jelasnya.

Dalam perkara berkaitan, beliau sekali lagi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri memperkenalkan kategori baru Rumah Mampu Milik (RMM) berharga RM150,000 untuk pasangan yang berpendapat isi rumah kurang daripada RM6,000 sebulan.

Bajet 2016 Pulau Pinang turut mengumumkan peruntukan pembiayaan Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang
(HAPPY!) sebanyak RM3 juta dan pembiayaan bersama 80:20 (80 peratus Kerajaan Negeri dan 20 peratus sumbangan penduduk/ perbadanan pengurusan) bagi kerja-kerja pembaikan serta penyelenggaraan kemudahan-kemudahan asas seperti pembaikan lif, bumbung dan tangki air di rumah pangsa kos rendah serta sederhana rendah swasta (RM2.8 juta).

}