Jauhi pemikiran ekstrem ISIS, nasihat KM

Admin

GEORGE TOWN – Rakyat di negara ini dinasihat supaya menjauhi pemikiran Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) serta Donald Trump, iaitu pendahulu calon Presiden Amerika Syarikat (AS) bagi Parti Republikan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberi nasihat itu semasa berucap pada Majlis Taklimat Khas Mengenai Teroris ISIS Peringkat Negeri anjuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sungguhpun kita tahu propaganda ISIS ini berdasarkan fitnah dan tohmahan, tetapi ia begitu liar, ekstremis dan melampau, akhirnya dapat menarik minat dalam kalangan mereka yang sesat (serta mereka) tidak berpuas hati dalam mencari makna hidup.

“Pendapat ekstrem dan melampau ini juga datang dari Amerika Syarikat, contohnya Donald Trump kerana dia menggunakan taktik yang sama seperti ISIS (dengan) membuat ucapan bersifat fitnah dan tohmahan melampau, ekstremis dan begitu liar sekali.

“Salah satu jalan keluar adalah masyarakat perlu berpegang kepada kesederhanaan atau disebut sebagai wasatiah, menolak pandanganpandangan ekstrem,” katanya pada pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata, beliau percaya anasir keganasan yang dipopularkan oleh ISIS sebenarnya bukanlah dari ajaran Islam yang sebenar.

Pada majlis sama, Penolong Pengarah Bahagian Counter Terorism PDRM Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyampaikan taklimat khas mengenai anasir ISIS yang berkembang di peringkat dunia serta di tanah air ini.

Beliau memberitahu, rakyat Malaysia termasuk beberapa suspek dari Pulau Pinang yang ditangkap rata-rata terjebak dalam anasir tersebut melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan Youtube.

Tambahnya, suspek-suspek yang menyertai ISIS di tanah air ini meliputi lelaki, wanita, remaja dan kanak-kanak yang rata-rata mengikut aliran mazhab “Salafi Jihadis”.

Justeru, tegas Ayob Khan, PDRM tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak serta akan menangkap sesiapa sahaja yang disyaki demi mencegah rancangan ISIS di tanah air ini.