ADUN Teluk Bahang mahu Pulau Pinang pelopori pertanian bandar bebas racun perosak

PULAU PINANG dicadang sebagai negeri paling hadapan mempelopori bidang pertanian bandar yang bebas daripada penggunaan racun makhluk perosak tanaman.

Sistem pertanian dan kawalan makhluk perosak semasa sebenarnya banyak bergantung kepada bahan kimia di mana kandungan bahan-bahan kimia ini yang disembur atau ditabur terus kepada tanaman amat berbahaya kepada kesihatan manusia terutamanya golongan kanak-kanak serta haiwan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, ZOLKIFLI MD. LAZIM berkata, hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bebas racun makhluk perosak akan tercapai sekiranya semua pihak memberikan komitmen penuh dalam mengusahakan pertanian bandar bebas racun.

“Walaupun bagi sesetengah petani atau peladang menggangap bahawa penggunaan racun makhluk perosak sangat membantu untuk meningkatkan hasil pertanian mereka, namun usaha bagi mempelopori amalan pertanian bebas racun ini boleh dimulakan untuk pertanian bandar, tanaman di kawasan rumah dan juga taman-taman perumahan,” ujar beliau ketika merasmikan projek rintis, Program Tanaman Bebas Racun yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Iktisan NGO I-Care Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Pertanian Daerah Barat Daya dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Bahang.

Ketika melontarkan idea tersebut, Zolkifli turut menyatakan komitmen dan kesudian beliau untuk mengadakan perbincangan lanjut dan melanjutkan idea tersebut kepada pihak Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dan Exco berkaitan.

Katanya, program tersebut boleh dijadikan projek rintis dan diperluaskan kepada seluruh warganegeri yang ingin bercucuk tanam dengan harapan amalan dan budaya pertanian bebas racun menjadi satu fenomena di Pulau Pinang.

“Pertanian bandar bukan suatu perkara baharu dalam kalangan masyarakat di negara ini, tetapi kebanyakannya mengambil jalan pintas dengan menggunakan baja-baja kimia yang boleh membahayakan kesihatan.

“Selain baja-baja kimia, baja organik adalah alternatif terbaik untuk menjayakan kempen pertanian bebas racun ini,” ujarnya lanjut.

Menurut kajian Pimentel yang dikemaskini pada tahun 2005 mendedahkan bahawa, dianggarkan AS$10 bilion setahun kerosakan alam sekitar dan masyarakat membabitkan penggunaan racun makhluk perosak di Amerika Syarikat, di mana AS$1.1 bilion digunakan untuk kos kesihatan awam, AS$1.5 bilion (kekebalan racun makhluk perosak), S$1.4 bilion (kerosakan tanaman), AS$2.2 bilion (kehilangan burung) dan AS$2.0 bilion (pencemaran air bawah tanah).

Walaupun angka ini tidak menunjukkan kos bagi Malaysia, namun jumlah kerugian akibat daripada kerosakan racun perosak menggambarkan betapa buruknya situasi ini.

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Zolkifli berkata bahawa sekiranya konsep pertanian bandar diusahakan dengan serius, ia pasti dapat menambahkan sumber pendapatan kepada pengusahanya.

“Selain menjimatkan perbelanjaan dan menambahkan pendapatan, konsep pertanian bandar juga boleh dijadikan sebagai aktiviti berfaedah ketika masa terluang,” tambah beliau.

Difahamkan, program rintis tersebut berjaya menarik 50 orang peserta yang terdiri daripada mereka yang minat untuk bercucuk tanam.

Dalam pada itu, pihak penganjur, FAZANA MUSTAFFA ketika berucap berkata bahawa menjelang tahun 2020, pihaknya mensasarkan sejumlah 400 buah rumah akan menyertai kempen tersebut dengan penglibatan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Bahang bagi mengusahakan tanaman sayur-sayuran menggunakan baja organik sepenuhnya.

“Mengikut perancangan, setiap rumah dikehendaki untuk menanam sayur-sayuran yang berbeza-beza di mana mereka (yang terlibat) akan dibekalkan dengan peralatan seperti pasu, benih dan perkakasan untuk menanam.

“Malah, untuk memastikan inisiatif ini benar-benar membuahkan hasil, mereka juga akan diberikan bimbingan untuk menghasilkan baja organik sendiri menggunakan kaedah yang betul.

“I-CARE berhasrat untuk menjuarai usaha tanaman bebas racun di Malaysia… kita akan jadikan program pada hari ni sebagai langkah permulaan untuk menjadi inspirasi kepada yang, namun kejayaan hanya akan dapat dicapai sekiranya semua pihak merealisasikannya,” katanya.

Dalam program yang berlangsung pada 22 November lalu di Dewan MPKK Teluk Bahang itu, para peserta telah diberikan bimbingan khas daripada Jabatan Pertanian Daerah Barat Daya berhubung cara-cara menanam dan menjaga sayur-sayuran yang ditanam khas di dalam pasu yang telah disediakan.

Salah seorang peserta yang mahu dikenali sebagai SITI AMIRAH, ternyata teruja ekoran terpilih menyertai program julung kali berkenaan.

Katanya, disamping dapat membawa pulang dua buah pasu, biji benih dan perkakasan menanam, beliau juga dapat menambahkan ilmu mengenai pengendalian tanaman.

“Walaupun pada mulanya nampak seperti mudah saja pertanian bandar ni, tetapi sebenarnya memerlukan pengetahuan.

“Sekeliling rumah saya juga akan kelihatan lebih ceria dan sedap mata memandang dengan kepelbagaian jenis sayur, malah pengetahuan yang diperolehi hari ini dapat mengisi masa lapang nanti,” ujarnya sambil memberitahu bahawa minat dan kesabaran adalah kunci utama, jika tidak usaha itu akan menjadi sekerat jalan sahaja.
Secara rawaknya, rata-rata peserta yang menyertai program berkenaan mengharapkan agar program berkaitan diperluaskan ke kawasan lain di seluruh Pulau Pinang.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ADUN