KM terima kunjungan hormat Pengarah HPP

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat Pengarah Hospital Pulau Pinang (HPP) baharu, Dr. Teo Gim Sian di pejabatnya pagi ini.

Pada pertemuan tersebut, Kon Yeow dan Gim Sian dilihat saling bertukar-tukar perspektif pendapat serta cadangan ke arah penambahbaikan sistem penyampaian HPP pada masa akan datang.

Sebagai respons, Kon Yeow mencadangkan agar kesesakan di HPP yang semakin mendesak kini diatasi bagi memberikan lebih keselesaan kepada pesakit dan pengunjung.

“Saya cadangkan agar sistem penyampaian ditambah baik, mungkin teknologi maklumat boleh diguna pakai bagi mengurangkan masalah menunggu yang lama dan mempercepatkan proses perkhidmatan,” ujarnya yang turut bersetuju bahawa kekurangan parkir adalah permasalahan utama yang perlu diatasi.

Pada kesempatan itu, Gim Sian turut berkongsi beberapa projek penaiktarafan dan perancangan yang sedang dan akan dilaksanakan.

Pertemuan kira-kira 15 minit tersebut turut disertai Timbalan Pengarah (Perubatan) HPP, Dr. R. Premalosini dan Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan) HPP, Farazimah Mohamad.

Difahamkan, sebelum ini Gim Sian pernah menabur khidmat di tiga buah hospital di negeri ini iaitu Hospital Sungai Bakap, Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Seberang Jaya selama hampir 30 tahun sebelum dilantik menjadi Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan seterusnya dilantik menerajui HPP kini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN