ADUN umum dua berita gembira buat penjaja Kompleks Batu Lancang

BATU LANCANG – Penjaja-penjaja dekat Kompleks Batu Lancang, di sini bakal menikmati suasana lebih selesa apabila masalah yang membelenggu mereka sejak sekian lama akan diatasi tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong berkata, penjaja di kompleks berkenaan sebelum ini berdepan dua masalah utama iaitu kerosakan pada penyejuk udara selain mengalami tekanan air yang sangat rendah.

Ong Ah Teong dan R.S.N. Rayer turut menyantuni pengunjung yang hadir.

“Baru-baru ini, kita telah mendapatkan kelulusan daripada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk memasang dua unit penyejuk udara baharu di kompleks ini dengan kos kira-kira RM80,000 yang akan dipasang pada Mac atau April ini.

“Manakala bagi masalah tekanan air rendah pula, saya telah berbincang dengan pihak MBPP untuk membaiki sistem perpaipan yang dijangka akan dimulakan pada tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan.

“Hal ini kerana mereka (MBPP) perlu membuat pemetaan terlebih dahulu untuk mengenal pasti sistem perpaipan yang perlu dibina baharu dan seterusnya menentukan kos yang diperlukan sebelum kerja-kerja dimulakan,” katanya pada sidang media sempena program mengedar buah limau dekat Kompleks Batu Lancang, sebentar tadi.

Turut serta, Ahli Parlimen Jelutong R.S.N. Rayer.

Pada program tersebut, sebanyak 50 kotak limau diedarkan kepada penjaja-penjaja serta pengunjung di kompleks berkenaan sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Dalam pada itu, Rayer pula memaklumkan bahawa penjaja-penjaja di kompleks berkenaan turut berdepan masalah berkaitan kes kecurian yang dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Walaupun pasar ditutup pada waktu malam dan dikawal oleh pengawal keselamatan tapi tetap juga berlaku masalah kecurian.

“Justeru, kita akan berbincang dengan pihak MBPP untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai peruntukan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kompleks ini bagi mengatasi masalah kes kecurian,” ujarnya lagi.

Pada sidang media sama, Ah Teong turut mempelawa orang ramai untuk memeriahkan majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina kawasan Batu Lancang pada 10 Februari ini (Ahad).

Katanya, program berkenaan akan bermula dari jam 7 malam bertempat di kawasan tempat letak kereta Pasar Batu Lancang, di sini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : J. KIRRTHANA