Pulau Pinang contoh ‘kerajaan campuran’ yang berjaya angkat kepelbagaian semua kaum – Tun M

GEORGE TOWN – Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan akan memastikan jurang sosial antara golongan kaya dan miskin membabitkan semua kaum dirapatkan di tanah air ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Perhimpunan Perdana Perpaduan 2019 sempena Sambutan Hari Perpaduan Negeri Pulau Pinang dan Ulang Tahun Ke-15 MPMNPP.

“Yang akan membawa malapetaka kepada negara kita ini ialah jikalau perpisahan orang miskin dan kaya begitu jauh.

“Sebab itu, Kerajaan Persekutuan akan berusaha merapatkan hubungan antara yang miskin dan kaya, supaya kekayaan kita ini dapat diagih secara saksama antara semua kaum.

“Ini, suatu yang kita kena usahakan supaya jangan identiti kaum disamakan dengan keadaan miskin,” jelasnya di Dewan Sri Pinang di sini pada 8 Februari 2019.

Turut berucap, Pengerusi Majlis Perundingan Muhibah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP), Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Latiff yang juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG).

Ketua Menteri, Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow antara tetamu kehormat paling utama di pentas auditorium yang menghimpunkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan etnik.

Mahathir memberitahu bahawa walaupun begitu banyak parti ditubuhkan berasaskan kaum sejak sebelum dan selepas merdeka, namun pada hari ini berperanan untuk menjaga semua kaum.

Tambah beliau, Pulau Pinang adalah contoh ‘kerajaan campuran’ yang berjaya mengangkat kepelbagaian semua kaum dan suku kaum.

Justeru, Mahathir mensasarkan usaha memupuk perpaduan kaum berkaitan, walaupun mungkin tidak berjaya melonjak Malaysia sebagai status negara maju pada tahun 2020, diharap tetap berjaya dicapai pada 2025 kelak.

“Sudah tentu Pulau Pinang mencerminkan kerjasama antara kaum dengan lebih jelas sejak begitu lama.

“Mungkin pada hari ini agak terlewat sedikit, tapi kita yakin selagi kita dapat menumpukan kepada usaha kerjasama antara kaum-kaum di Malaysia ini dan negara kita kekal aman, kita akan mencapai kemajuan sehingga ke tahap negara maju pada tahun 2025,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN