Agih bakul makanan secara pandu lalu lebih efisien, kata Ahli Parlimen Balik Pulau

Admin

TELUK BAHANG – Penduduk setempat terutama sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Bahang yang mendapat baucer Program Bakul Makanan boleh mengambil pek makanan asasi mereka secara pandu lalu di Dewan MPKK Teluk Awak hari ini.

MUHAMMAD Bakhtiar WAN Chik

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata bahawa agihan sebanyak 400 pek bakul makanan melalui pendekatan berkenaan adalah sebagai langkah menambah baik sistem pengagihan bakul makanan sedia ada di negeri ini.

“Kita mengagihkan sumbangan dalam bentuk bakul makanan bukan sahaja untuk KADUN Teluk Bahang, malah kawasan Teluk Bahang dan Teluk Awak, yang mana sebahagiannya disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan (sementara) sebahagian lagi daripada sumbangan saya sendiri.

MUHAMMAD Bakhtiar Wan Chik (tiga dari kiri) sebagai ‘ADUN Angkat’ Teluk Bahang turut menyerahkan beg bekalan makanan tambahan kepada penerima secara pandu lalu di sini tadi.

“Pendekatan (pandu lalu) sebegini adalah lebih efisien, yang mana para penerima hanya memandu kenderaan masing-masing sementara sukarelawan kita membantu mengangkat masuk kotak bakul makanan ini ke dalam kenderaan mereka.

“Sesiapa sahaja yang memohon menerusi talian kita, kita terima semuanya dan beri baucar Program Bakul Makanan, tiada polisi menolak permohonan mereka kerana kita tahu semua pihak terjejas semasa ini.

“Saya berharap sumbangan di bawah Program Bakul Makanan ini dengan nilai setiap sumbangan adalah kira-kira RM150 (termasuk nilai sumbangan tambahan daripada Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Balik Pulau), keluarga mereka dapat bertahan selama tiga minggu,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Angkat bagi KADUN Teluk Bahang.

BEBERAPA sukarelawan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Balik Pulau sedang menguruskan logistik beg bekalan makanan tambahan untuk diagihkan kepada para pemohon secara pandu lalu pada awal pagi tadi.
OPERASI di lorong khas pandu lalu untuk para penunggang motosikal mengambil kotak ‘Bakul Makanan’ di sini.

Menurutnya lagi, sehingga kini sejumlah 1,000 kotak bekalan makanan asasi telah pun diagihkan masing-masing dalam fasa dua dan tiga Program Bakul Makanan.

“Semasa fasa satu Program Bakul Makanan, pengagihan menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Setiap kawasan Parlimen mendapat peruntukan RM300,000 (menyamai) 3,000 kotak di bawah Program Bakul Makanan,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD