PSC19; Exco seru rakyat Pulau Pinang jalani saringan komuniti percuma

Admin

BAYAN LEPAS – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyeru semua rakyat Pulau Pinang supaya mengambil peluang menyertai saringan komuniti bersasar percuma, Program Penang Saring COVID-19 (PSC19) yang kini giat dilaksanakan di beberapa lokaliti di negeri ini.

 

Menurut beliau, program hasil inisiatif Kerajaan Negeri itu telah dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 5 Julai lalu dan mendapat sambutan di beberapa lokaliti ‘panas’ (hotspot).

 

Semalam (15 Julai), respons yang diterima di Lebuh Macallum amat menggalakkan apabila 1,241 individu tampil membuat saringan (melalui kaedah RTK-Ag).

 

“Walaupun matlamat asal program (PSC19) ini adalah terhad kepada 1,000 individu bagi setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) namun sekiranya kawasan itu merupakan kawasan hotspot maka kita terima (lebih daripada had 1,000 individu),” ujarnya pada sidang media sejurus mengadakan tinjauan Program PSC19 di pekarangan parkir Kompleks dan Pasar Jalan Rajawali dekat sini pagi ini.

UJIAN saringan merupakan salah satu inisiatif 3T (test, tracing, treatment) Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak pandemik melanda negara.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga ADUN Batu Maung dan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal.

 

Mengulas lanjut mengenai program PSC19 di Lebuh Macallum membabitkan KADUN Pengkalan Kota,  Jagdeep memberitahu bahawa seramai 15 individu yang disaring dikesan positif.

 

“Mereka ini kita telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri dan menunggu keputusan RT-PCR bagi tindakan selanjutnya.

 

“Sebelum inipun, daripada 35 individu yang dikesan (positif melalui ujian RTK-Ag) 23 individu disahkan positif COVID-19 hasil keputusan RT-PCR.

 

“Oleh itu, saya ulangi, ambillah peluang, daftarlah segera kerana inisiatif ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri mengesan (tracing) kes-kes positif atau kontak rapat dan mengasingkan mereka ini untuk proses rawatan (treatment),” serunya.

SALAH seorang petugas kesihatan sedang melakukan ujian saringan ke atas seorang wanita yang hadir ke Jalan Rajawali dekat sini pagi ini.

 

Nada sama turut disuarakan oleh Azrul Mahathir yang menyeru agar penduduk di KADUN Bayan Lepas terutama di kawasan hotspot supaya tampil menjalani saringan.

 

“Setakat 10:45 pagi ini, lebih 400 individu telah melakukan pendaftaran.

 

(Dan) saya ingin menyeru kepada semua supaya datang dan lakukan saringan, program ini akan berlangsung sehingga pukul 5:00 petang ini.

 

“Saya menjangkakan lebih ramai hadir kerana inilah peluang untuk mengesan sama ada kita dijangkiti atau tidak…ambil peluang ini,” katanya yang turut dipersetujui oleh Abdul Halim.

 

Difahamkan, sejak Program PSC19 dilancarkan pada 5 Julai lalu, 10 peratus daripada sasaran 40,000 telah selesai disaring.

 

Hari ini, Program PSC19 melibatkan dua KADUN iaitu KADUN Bayan Lepas dan Batu Maung.

 

Esok (17 Julai) program sama akan diadakan di Sekolah Kebangsaan Padang Tembak melibatkan KADUN Kebun Bunga dan pada 18 Julai pula di Dewan MPKK Sungai Dua, Flat Hamna Desa Permai Indah bagi KADUN Batu Uban.

 

Bagi yang ingin menjalani saringan, anda boleh mendaftarkan diri melalui http://penangsaring.selangkah.my atau melalui Pusat Khidmat ADUN masing-masing atau hadir terus (walk-in) ke lokasi berkaitan.

 

Jom, sama-sama mendaftar!

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI