BAYAN LEPAS – Skim agihan Zakat Nur Ramadan diteruskan pada tahun ini dengan jumlah peruntukan keseluruhan berjumlah RM4.8 juta bagi membantu golongan asnaf di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, selain bantuan tunai, seramai 10,000 penerima turut menerima bantuan tambahan dalam bentuk e-hamper bagi meringankan beban menjelang sambutan Aidilfitri.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Agihan Zakat Nur Ramadan 1447H serta simbolik penyerahan agihan di Masjid Al-Mustaghfirin Sungai Tiram serta majlis berbuka puasa bersama-sama jemaah kariah dekat sini pada 10 Mac 2026.
“Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada tahun ini turut membuat penambahbaikan dalam proses pemilihan penerima dengan melibatkan kariah masjid bagi menerima dan menapis permohonan bantuan.

“Pendekatan ini diambil bagi memastikan proses saringan lebih telus dan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Sehubungan itu, agihan skim bantuan berkenaan akan dilaksanakan pada pertengahan Ramadan ini bagi membolehkan penerima mempunyai tunai menjelang sambutan Aidilfitri,” ujarnya yang juga merupakan Yang Dipertua MAINPP.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Mohamad Kairi Ghazalli dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Dato’ Zulkifli Rashid.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mohamad berkata, lebih 300 orang pelajar dari Pulau Pinang yang sedang melanjutkan pengajian di Jordan dan Mesir dilaporkan berada dalam keadaan selamat serta terkawal.
“Saya sendiri telah menerima maklumat terkini daripada Duta Besar Malaysia di Jordan, (Datuk Mohamad Nasri Abdul Rahman) yang memaklumkan bahawa semua pelajar Malaysia termasuk dari Pulau Pinang berada dalam keadaan selamat.
“Kedutaan Malaysia di sana sentiasa berhubung dengan wakil pelajar bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara sepanjang tempoh situasi yang dianggap sensitif di rantau berkenaan,” jelasnya lanjut.
Tambah Mohamad, para pelajar dinasihatkan supaya berada di kediaman masing-masing dan hanya keluar ke kampus bagi tujuan menghadiri kuliah.
Difahamkan, seramai 200 lagi pelajar dari negeri ini sedang melanjutkan pengajian di Mesir dan situasi di negara berkenaan dilaporkan tidak terjejas oleh ketegangan yang berlaku.
Sebelum ini, media melaporkan ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : PEJABAT EXCO