Agility pilih P. Pinang jadi hub baru logistik antarabangsa

Admin
MORTEN Damgaard bersalaman dengan Ketua Menteri selepas menyampaikan cenderamata bersempena Majlis Perasmian Hub Logistik Baru Agility di sini baru-baru ini.
MORTEN Damgaard
bersalaman
dengan Ketua
Menteri selepas
menyampaikan
cenderamata
bersempena Majlis
Perasmian Hub
Logistik Baru Agility
di sini baru-baru ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPASGedung baru seluas 60,000 kaki persegi milik syarikat antarabangsa, Agility Logistics Sdn. Bhd. (Agility) yang siap dibina dan mula beroperasi secara rasmi baru-baru ini menerima penghargaan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng semasa menyampaikan ucapan perasmian berkata, partisipasi Agility itu mengambil kira persekitaran ekonomi Pulau Pinang yang kian kukuh selain diiktiraf sebagai negeri paling selamat untuk diduduki di Malaysia.

“Pulau Pinang adalah negeri ke-8 paling selamat untuk didiami di Asia dan diakui sebagai negeri paling selamat untuk diduduki di Malaysia, sekaligus menarik minat syarikat antarabangsa untuk (melabur) ke negeri ini,” ujar beliau pada Majlis Perasmian Hub Logistik Baru Agility di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (Asia Tenggara dan Malaysia) Agility, Morten Damgaard dan Ali Ahmad (Pengurus Agility Pulau Pinang) turut hadir dalam majlis perasmian tersebut.

Agility memilih Pulau Pinang sebagai gedung baru antrabangsanya semasa Pulau Pinang menjadi jaguh pelaburan asing langsung (FDI) baru-baru ini.

FDI Pulau Pinang bagi tahun 2010 berjumlah RM12.2 bilion, manakala RM9.1 bilion FDI diperoleh pada tahun berikutnya.

Pencapaian itu menjadikan Pulau Pinang menyumbang 28 peratus atau RM17.7 bilion pada FDI Malaysia selama dua tahun tersebut.

Morten Damgaard berkata, gedung baru itu dibina di Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas, di sini, atas keluasan tanah kira-kira 60,000 kaki persegi.

Seramai 52 tenaga profesional tempatan bekerja di gedung bertaraf antarabangsa itu.

Operasi Agility merangkumi hartanah, kumpul logam dan kitar semula (MRC), sistem sebaran maklumat global (GCS), khidmat penerbangan nasional (NAS), khidmat pemeriksaan dan kawalan (ICS) dan khidmat GCC.

Itu, tidak termasuk beberapa industri tumpuan seperti sektor runcit, minyak dan gas, bahan kimia, teknologi dan elektronik, insurans nyawa dan FMCG.

Katanya lagi, syarikat logistik bersepadu itu mempunyai lebih 22,000 pekerja serta 550 pejabat di lebih 100 negara seperti China, India, Brazil, Arab Saudi, Benua Arab, Indonesia, Rusia, Chile dan Mexico.

Guan Eng berkata, pemilihan Pulau Pinang sebagai gedung baru Agility sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri berkenaan.

“Kami sangat menghargai pelaburan Agility dengan membina fasiliti di Pulau Pinang.

“Partisipasi (Syarikat bersepadu logistik) ini bukan sahaja memenuhi keperluan urus niaga semata-mata, tetapi sekaligus mencipta peluang pekerjaan serta mampu melonjak Lapangan Terbang (Antarabangsa) Pulau Pinang sebagai hub pengangkutan dan logistik di rantau ini,”ujar beliau.