Kejohanan Futsal Padang dinobat acara tahunan

Admin
ARSHAD Md. Salleh (berdiri, lima dari kanan) bergambar kenang-kenangan dengan salah sebuah pasukan yang menyertai Kejohanan Futsal Padang di Padang Awam bersebelahan Sekolah Kebangsaan Ara Rendang di sini baru-baru ini.
ARSHAD Md. Salleh (berdiri, lima dari kanan) bergambar kenang-kenangan dengan salah sebuah
pasukan yang menyertai Kejohanan Futsal Padang di Padang Awam bersebelahan Sekolah
Kebangsaan Ara Rendang di sini baru-baru ini.

SIAGA… Kejohanan Futsal Padang anjuran bersama Pejabat Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Berangan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pokok Sena Koskam dan Dewan Pemuda PAS kawasan Tasek Gelugor meriah dengan penyertaan 25 pasukan bola sepak amatur.

Menurut Pegawai Penyelaras KADUN Permatang Berangan, Arshad Md. Salleh, kejohanan yang julung kali diadakan ini bukan sahaja untuk mengasah bakat anak-anak muda dalam sukan bola sepak, tetapi juga untuk merapatkan ukhuwah antara pentadbiran peringkat KADUN dan penduduk setempat.

“Alhamdulillah, walaupun pertama kali, kita berjaya menganjurkannya.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Kejohanan Futsal Padang Piala PPK bagi tahun ini. InsyaAllah kita akan jadikan ia acara tahunan,” ujar Arshad Md. Salleh yang turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut di Padang Awam bersebelahan Sekolah Kebangsaan Ara Rendang di sini baru-baru ini.