SEBERANG JAYA – Masalah anjing terbiar di Seberang Perai perlu ditangani secara lebih tersusun, bersepadu dan berasaskan data menerusi pengukuhan Program Trap, Neuter, Release and Manage (TNRM) serta penglibatan komuniti.
Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ngoh Cheng Hai berkata, pendekatan TNRM wajar diperkasakan kerana matlamat pengurusan anjing terbiar bukan sekadar menangkap dan mensterilkan haiwan berkenaan, sebaliknya mengawal pertumbuhan populasi, mengurangkan gangguan kepada masyarakat serta memastikan kebajikan haiwan terus diberi perhatian.
Menurutnya, keberkesanan TNRM tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah anjing yang berjaya ditangkap atau dimandulkan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan impak jangka panjang terhadap populasi dan kesejahteraan komuniti.
Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya MBSP mewujudkan pangkalan data TNRM yang sistematik dengan merekodkan lokasi, tarikh, status vaksinasi, jantina serta kaedah pengenalan seperti tag telinga atau mikrocip, jika bersesuaian.
“Dengan data ini, MBSP dapat mengenal pasti kawasan yang mempunyai populasi anjing terbiar yang tinggi dan melaksanakan intervensi berdasarkan data, bukan hanya berdasarkan aduan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan sempena Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-627 (Bil. 9/2026) di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP, di sini sebentar tadi.
Beliau turut mencadangkan supaya kawasan hotspot dikenal pasti berdasarkan jumlah aduan, laporan penguatkuasaan dan data TNRM, khususnya di kawasan perumahan, pasar, kawasan industri, tapak pembuangan sampah serta lokasi yang mempunyai sumber makanan terbuka.
Pada masa sama, Cheng Hai menegaskan bahawa pendekatan TNRM tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian tanpa menangani punca yang menyebabkan masalah berulang.
“Sekiranya selepas anjing dikembalikan ke kawasan asal masih terdapat sumber makanan terbuka, pembuangan sampah tidak terkawal atau pemilik yang melepaskan anjing, masalah sama akan berulang.
“Oleh itu, TNRM perlu digabungkan dengan pengurusan sisa makanan, kebersihan kawasan, pendidikan komuniti dan penguatkuasaan terhadap pemilik anjing,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan konsep ‘Community TNRM Partnership’ yang melibatkan MBSP, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemberi makan haiwan, persatuan penduduk dan komuniti setempat.
Katanya, pemberi makan haiwan yang bertanggungjawab boleh membantu mengenal pasti anjing yang telah dimandulkan, memantau populasi serta melaporkan kemasukan anjing baharu di sesuatu kawasan.
“Dengan cara ini, selepas enam atau 12 bulan, kita boleh melihat sama ada program ini benar-benar memberi impak,” katanya.
Dalam pada itu, Cheng Hai berkata, satu pelan strategi khusus bagi anjing agresif atau berisiko juga perlu diwujudkan dengan mengambil kira aspek keselamatan awam.
Menurutnya, terdapat perbezaan antara anjing yang tidak mengganggu masyarakat dengan anjing yang agresif, mengejar orang awam atau menimbulkan risiko keselamatan.
“TNRM bukan bermaksud semua anjing perlu dikembalikan tanpa penilaian, sebaliknya kita perlu mempunyai penilaian risiko yang jelas sebelum tindakan susulan dibuat.
“Keselamatan penduduk mesti sentiasa menjadi keutamaan,” tegasnya.
Beliau berkata, TNRM tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai program kebajikan haiwan, sebaliknya turut menjadi sebahagian daripada mekanisme pengurusan bandar dan kesejahteraan komuniti.
“Kita mahu Seberang Perai menjadi bandar yang bersih, selamat dan tersusun, pada masa sama mempunyai pendekatan pengurusan haiwan terbiar yang berperikemanusiaan,” katanya.
Justeru, beliau berharap MBSP dapat melihat TNRM sebagai program jangka panjang yang berasaskan data, petunjuk prestasi utama (KPI) dan kerjasama komuniti, bukannya sekadar aktiviti tangkapan dan pelepasan.
Beliau turut mencadangkan supaya laporan keberkesanan Program TNR dibentangkan secara berkala kepada Ahli Majlis bagi membolehkan pencapaian dinilai dan strategi ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Kita tidak mahu hanya mengurus masalah apabila aduan diterima tetapi kita mahu mencegah masalah sebelum menjadi lebih besar,” katanya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua jabatan MBSP, NGO, sukarelawan dan komuniti yang terlibat dalam usaha mengawal populasi anjing terbiar di Seberang Perai.
Beliau berharap pendekatan yang lebih tersusun, bersepadu dan berasaskan data dapat mewujudkan keseimbangan antara keselamatan awam, kebersihan bandar dan kebajikan haiwan.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN