Penginapan pekerja asing: MBSP digesa perkasa penguatkuasaan, pangkalan data digital

img 20260929 wa0098

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) digesa memperkukuh mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penempatan pekerja asing bagi memastikan pelaksanaan Garis Panduan Penginapan Pekerja Tempoh Terhad di Seberang Perai benar-benar memberi impak kepada kesejahteraan penduduk.

Ahli Majlis bagi MBSP, K. Predeeb Kumar berkata, beliau menyokong pelaksanaan garis panduan berkenaan yang dikuatkuasakan mulai 1 September lalu, termasuk keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tidak membenarkan kawasan kediaman penduduk dijadikan penempatan pekerja asing.

Menurutnya, langkah tersebut amat diperlukan bagi mengurangkan isu kacau ganggu, kebersihan dan keselamatan yang sebelum ini sering menjadi kebimbangan penduduk di kawasan perumahan.

“Namun, dasar yang baik tidak akan membawa impak optimum tanpa mekanisme penambahbaikan dan penguatkuasaan yang tegas,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Majlis Penuh MBSP Kali Ke-627 (Bil. 9 2026) di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP, sebentar tadi.

Beliau berkata, antara cabaran yang perlu diberi perhatian ialah kewujudan pekerja asing yang menyewa rumah secara individu atau berkumpulan kecil tanpa melalui majikan, sekali gus mewujudkan ketirisan dalam kawalan penempatan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan MBSP bekerjasama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan ejen hartanah bagi mengenal pasti premis yang disyaki dijadikan penempatan pekerja asing secara tidak rasmi.

Katanya, tindakan penguatkuasaan juga wajar dikenakan terhadap pemilik rumah atau tuan tanah sekiranya premis disewakan secara tidak sah atau melebihi kapasiti munasabah.

Dalam masa sama, Predeeb Kumar mencadangkan supaya MBSP mengetuai operasi bersepadu secara berkala bersama Jabatan Tenaga Kerja Pulau Pinang (JTKPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Isu kediaman pekerja asing bukan sekadar isu lesen PBT, tetapi turut melibatkan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Operasi di kawasan hotspot perlu dijalankan secara konsisten dan tidak hanya bergantung kepada aduan awam,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan pewujudan pangkalan data digital atau sistem pendaftaran penginapan pekerja asing bagi Seberang Perai yang membolehkan setiap permit penginapan tempoh terhad dipetakan menggunakan sistem GIS.

Beliau turut mencadangkan penyediaan saluran WhatsApp khas MBSP bagi memudahkan komuniti melaporkan premis yang disyaki dijadikan asrama pekerja asing secara tidak rasmi.

Dalam perkembangan sama, Predeeb Kumar berkata, MBSP perlu memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi mempercepatkan proses kelulusan projek Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ), khususnya di zon perindustrian atau komersial.

“Garis panduan ini adalah alternatif sementara sebelum kapasiti CLQ mencukupi.

“Justeru, tempoh peralihan ini tidak seharusnya berpanjangan kerana kesejahteraan dan keharmonian penduduk tempatan di Seberang Perai tidak boleh dikompromi.

“Pertumbuhan ekonomi dan keperluan sektor industri juga mesti diimbangi dengan perancangan bandar yang teratur dan selamat,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN