Ahli Majlis MBSP baru dilantik sedia beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat

SEDIA BERKHIDMAT…. Empat daripada lapan individu yang baru dilantik sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masing-masing menyatakan kesediaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.

Ahmad Rizal Abd Hamid, 45, peguam.

AHMAD RIZAL ABD HAMID, 45, berkata banyak usaha yang perlu dilakukan untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan pembandaran dalam usaha meletakkan MBSP setaraf dengan bandar raya lain di negara ini.

“Fokus utama kita sudah semestinya mengenai peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat, menangani masalah ekonomi, sosial, kesihatan serta langkah untuk mengharmonikan masyarakat.

“Penaiktarafan MBSP sebagai bandar raya tidak boleh lari daripada usaha untuk mengharmonikan masyarakat kerana tiada gunanya menjadi bandar raya jika masyarakat masih hidup dalam kesempitan. Perkara inilah yang kita mahu fokuskan,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Ahmad Rizal yang juga seorang peguam dalam pada itu menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yoew kerana memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis MBSP.

“Pelantikan ini memberi ruang dan membuka satu lembaran baru dalam manifestasi perjuangan reformasi.

“Sekarang masih belum tahu portfolio apa yang akan dipertanggungjawabkan kepada saya tetapi insyaAllah, saya akan jalankan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan sehabis baik demi penduduk Seberang Perai,” katanya yang merupakan salah seorang pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Cabang Permatang Pauh.

Zainuddin Mohamed, 35, pengurus syarikat.

Bagi ZAINUDDIN MOHAMED, 35, beliau bertanggungjawab  menjaga kawasan di Parlimen Kepala Batas yang kebanyakannya terdiri daripada perkampungan.

“Jadi, isu-isu kritikal yang perlu diberikan tumpuan adalah berkaitan aspek perparitan, longkang, struktur jalan yang kurang baik dan banyak lagi.

“Penduduk di kawasan-kawasan taman di sini (Kepala Batas) juga selalu bangkitkan isu berkaitan jadual pemotongan rumput yang mana sebelum ini tidak mengikut jadual ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Oleh itu, bagi penggal pertama ini, kita akan fokuskan masalah penjadualan pemotongan rumput supaya lebih teratur kerana ia telah menjejaskan padang-padang awam di sini.

“Seterusnya, kita akan lihat daripada segi pembangunan dan penambahbaikan longkang serta sistem perparitan di kawasan kampung-kampung yang menyebabkan berlaku banjir kilat terutamanya di Kampung Selamat, Paya Keladi dan Permatang Tinggi yang dilihat agak kritikal ketika ini,” jelasnya lagi.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti PKR di atas kepercayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai Ahli Majlis bagi MBSP.

“Syukur kepada Allah SWT di atas tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya.

“Saya nyatakan dengan jelas bahawa saya tidak terlalu mengharapkan jawatan tetapi sekiranya saya diperlukan untuk berkhidmat kepada parti melalui MBSP, saya akan cuba yang terbaik,” katanya lagi.

Selain menjawat jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kepala Batas, Zainuddin juga merupakan Pengerusi Biro Pekerja 4.0 AMK Malaysia serta Pengarah Komunikasi PKR bagi Cabang Kepala Batas.

Fahmi Zainol, 29, Pegawai Khas Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Dalam pada itu, FAHMI ZAINOL, 29, berkata pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengutamakan golongan belia dalam pelaksanaan polisi selain memperbaiki kecekapan perkhidmatan.

Tambahnya lagi, pelantikan sebagai Ahli Majlis merupakan platform terbaik buat golongan muda untuk bersuara mewakili komuniti Seberang Perai.

“Saya memang membesar di Seberang Perai, jadi mudah untuk saya mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian terutamanya daripada segi pembangunan di samping menjaga warisan yang sedia ada.

“Saya mahu perbetulkan stigma yang mengatakan pembangunan di pulau lebih baik berbanding Seberang Perai.

“Sebab itu penting untuk kita pastikan pembangunan di Seberang Perai juga setanding dengan bahagian pulau,” ulasnya.

Pengalaman sebagai Pegawai Seranta kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap sebelum ini dapat membantu S. GALAIMANI, 41, menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat dengan lebih baik.

S. Galaimani, 41, Pegawai Seranta ADUN Sungai Bakap.

“Antara perkara yang akan saya berikan perhatian adalah menangani kesesakan lalu lintas di kawasan Sungai Bakap kerana isu ini antara aduan paling banyak diterima.

“Selain itu, kita juga akan memfokuskan aspek pembangunan infrastruktur di Seberang Perai khususnya di kawasan Sungai Bakap,” jelasnya lagi.

Semalam, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan pelantikan 48 individu sebagai Ahli Majlis bagi kedua-dua Majlis Bandaraya (MPSP dan MBPP) berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2020.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pelantikan baru tersebut membabitkan masing-masing 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan MBSP (24).

Beliau berkata, pelantikan Ahli Majlis bagi MBPP pada tahun ini memperlihatkan 11 muka baru dan 13 lagi adalah lantikan semula, manakala bagi MBSP pula pelantikan adalah melibatkan 16 lantikan semula dan lapan lagi muka baru.

Majlis Angkat Sumpah bagi penerimaan jawatan secara rasmi akan diadakan secara berasingan iaitu esok bagi MBPP dan hari Sabtu (11 Januari) bagi MBSP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD