Ahli Majlis teruskan tradisi sumbang beras

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Sejumlah 381 kampit beras seberat lima kilogram diedarkan kepada 381 Pekerja Awam Pasukan 3D (Dirty, Dangerous, Difficult) hasil sumbangan 24 Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis, Ong Ah Teong ketika ditemui berkata, sumbangan tersebut diadakan secara tahunan bagi membantu meringankan bebanan ditanggung Pekerja Awam Pasukan 3D rentetan kenaikan kos sara hidup yang meruncing.

“Saya harap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan kewangan pekerja-pekerja awam ini terutama bagi mereka yang telah berkeluarga dan mempunyai anak, memandangkan sesi persekolahan 2014 baru sahaja bermula,” katanya pada majlis sumbangan tersebut di sini baru-baru ini.

Sumbangan beras kepada Pekerja Awam Pasukan 3D telah dilaksanakan secara tahunan sejak tahun 2012.