Roboh surau tak tepat, nasihat YDP MPSP

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Walaupun Jawatankuasa Surau Taman Penaga Permai sendiri bersetuju untuk memindah ‘shed’ surau berkenaan yang dikenalpasti memasuki kawasan tanah tadika, bangunan tadika tersebut juga akan dibelakangkan dari kedudukan asal dalam Pelan Kebenaran Merancang.

Respons Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif itu sekaligus menolak laporan tidak tepat yang disiarkan dalam beberapa akhbar perdana Berbahasa Malaysia pada 17 Januari lepas.

“Kita (MPSP) mengambil ‘situasi menang-menang’, pada saya, MPSP tidak roboh surau itu sebagaimana dilaporkan.

“Elok dapat maklum balas kedua-kedua pihak sebelum siar satu-satu berita,” nasihat Maimunah pada satu sidang media di Kompleks Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamod dan beberapa Ahli Majlis antaranya Tan Cheong Heng, Ahmad Tarmizi Abdullah dan Ahmad Kaswan Kassim turut hadir pada sidang media sejurus selesai mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Sebelum itu, Maimunah berkata, Pelan Kebenaran Merancang Taman Penaga Permai yang diluluskan MPSP antara lain mensyaratkan pemaju supaya menyediakan tapak serta membina surau dan tadika di atas sebidang tanah yang saling bersebelahan.

Difahamkan, MPSP telahpun meluluskan pelan bangunan surau dan pelan bangunan tadika secara serentak.

Pun begitu, pemaju hanya siap memajukan bangunan surau tersebut, yang telahpun digunakan oleh komuniti umat
Islam setempat.

Pemaju tidak dapat menyerahkan bangunan tadika itu kepada MPSP, ekoran projek pembangunan fasa akhir tersebut tidak dapat diteruskan.

Ini kerana, ‘shed’ atau bumbung julur surau yang dibina jawatankuasa surau berkenaan berada di dalam tapak yang sepatutnya dibina bangunan tadika.

Justeru, Maimunah pada 9 Januari lepas memanggil pengerusi jawatankuasa surau, Khairul Anuar Abdul Rahman, wakil pemaju, wakil Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) serta Jabatan Teknikal MPSP untuk berbincang isu berbangkit tersebut.
Hasil perbincangan itu, antaranya, semua pihak bersetuju untuk mengubah ‘shed’ tersebut, bukan merobohkan Surau Taman Penaga Permai seperti dilaporkan dalam akhbar-akhbar berkenaan.