Pusat digesa lebih efisien proses permohonan kewarganegaraan – TKMII

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BERTAM – Kerajaan Pusat digesa agar mengambil pendekatan lebih efisien dalam memproses permohonan kewarganegaraan di negara ini berikutan masih terdapat banyak kes lama tertunggak meskipun telah memenuhi syarat serta prosedur ditetapkan.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, Kerajaan Pusat seharusnya memandang serius masalah tersebut dengan meningkatkan efisiensi sistem penyampaian dan mengatasi karenah birokrasi yang merumitkan proses permohonan diluluskan.

“Tanpa memiliki taraf kewarganegaraan, individu-individu ini akan menghadapi pelbagai masalah dan telah dinafikan hak serta keperluan asasi mereka.

“Kanak-kanak tanpa kerakyatan tidak dapat bersekolah, individu dewasa tidak dapat memiliki lesen memandu, pasport, tidak boleh mendaftarkan perkahwinan, tidak dapat membuka akaun bank dan dinafikan hak untuk mengundi.

“Malah, masalah utama dihadapi adalah mereka tidak boleh mendapat pekerjaan sah di sektor kerajaan mahupun swasta,” ucapnya pada Majlis Perasmian Program Kewarganegaraan Kerajaan Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel dan Pegawai-pegawai Pembantu Kewarganegaraan.

Program Kewarganegaraan Negeri Pulau Pinang yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 1 Februari 2013 adalah bagi membantu golongan yang mempunyai masalah taraf kerakyatan.

Menurut Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, kebanyakan pemohon berkaitan adalah dari golongan kurang mampu serta menetap di kawasan pedalaman, yang mana menyukarkan mereka untuk memperoleh bantuan kebajikan.

“Justeru itu, saya mencadangkan agar pemohon kewarganegaraan berusia lebih 50 tahun dan mempunyai anak-anak yang memiliki taraf kewarganegaraan supaya diberi taraf kerakyatan secara automatik

“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga perlu melantik kakitangan yang boleh bertutur dan berurusan dengan pemohon kurang berpendidikan dalam bahasa ibunda mereka,” seru beliau.

Tambah beliau, sehingga kini, sejumlah 654 individu telah dibantu melalui program hasil inisiatif Kerajaan Negeri tersebut.}