AIM dilantik ‘amil’ zakat P. Pinang

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dilantik sebagai wakil pemungut zakat atau amil di negeri ini, selepas pemeteraian satu memorandum perjanjian (MoA) dengan Zakat Pulau Pinang (ZPP) di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man berkata, pemeteraian perjanjian itu sekaligus membolehkan AIM mendapatkan maklumat langsung berwajib mengenai hal ehwal pungutan zakat daripada ZPP sendiri.

“AIM merupakan pihak ketiga yang dilantik sebagai wakil ZPP untuk memungut zakat gaji daripada anggotanya, selepas MoU serupa yang dibuat dengan Pos Malaysia pada tahun 2007 dan ANGKASA (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad), 2014.

“Pelantikan AIM ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada semua aspek zakat, khususnya dalam kalangan ahli dan (peserta skim pinjaman mikrokredit) Sahabat AIM untuk mendapatkan maklumat zakat secara langsung daripada pegawai AIM yang dilantik sebagai wakil kutipan Zakat Pulau Pinang (ZPP),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir pada Majlis Tandatangan MoA Amanah Ikhtiar Malaysia Sebagai Wakil Kutipan Zakat di sini baru-baru ini.

Ahli Lembaga Pengarah AIM, Datuk Yusoff Haniff turut berucap pada majlis berkaitan.

Majlis tandatangan tersebut dilangsungkan antara Pengurus Besar ZPP, Dr. Azman Abdul Samat dan Pengarah Urusan AIM, Norsharizal Mashahrin.

Menurut Mohd. Salleh, pihaknya menyeru supaya lebih banyak badan korporat tampil untuk bersama-sama melakukan kerjasama strategik dalam memungut zakat, sebagaimana dilakukan oleh AIM.

Serentak itu, Mohd. Salleh turut mengumumkan jumlah ZPP pada tahun lepas direkodkan mengutip RM82.2 juta zakat harta dan zakat fitrah (RM4.2 juta).

Dalam pada itu, Yusoff memberitahu, seramai 5,975 orang, terdiri oleh kaum wanita yang menyertai skim pinjaman mikrokredit kendalian AIM di negeri ini.

Daripada jumlah itu, jelasnya, seramai 2,300 orang Sahabat AIM berkenaan direkodkan berjaya meningkatkan pendapatan kasar bulanan melebihi RM3,500.

“Pembayar zakat daripada kalangan Sahabat AIM yang kita sasar untuk tahun ini adalah seramai 1,500 orang dulu,” jelas Yusoff.

AIM merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan 28 tahun lepas demi memartabatkan kaum wanita supaya keluar daripada hidup susah, melalui bantuan pinjaman mikrokredit dan khidmat nasihat komersial.} else {