Lantik Think City baikpulih bangunan warisan Lebuh Kimberley

GEORGE TOWN – Bagi tujuan memulihara struktur warisan di Lebuh Kimberley, Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bersetuju melantik Think City Sdn. Bhd. (Think City) melaksanakan Projek Membaikpulih Bagunan bangunan bernombor 94, 96, 98, 100, 102 dan 102A di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir melawat enam struktur berkenaan berkata, Think City dipilih berdasarkan penglibatan pihak berkaitan mengendalikan projek warisan dan pemuliharaan bangunan, reruang awam, pemetaan budaya secara usahasama dengan agensi lain sebelum ini.

“Think City yang juga merupakan syarikat milikan Khazanah Nasional Berhad dilihat mampu melaksana dan menguruskan projek warisan dan berkeupayaan mendapatkan pakar-pakar bagi menyediakan kajian berkaitan. Antaranya, menyediakan laporan dilapidasi, pelan pengurusan warisan, laporan penilaian tapak, kaji selidik dan lain-lain.

“Malah, Think City juga dialu-alukan untuk merujuk sambil bekerjasama dengan pakar konservasi dan sejarah serta komuniti setempat dalam menggalakkan pembangunan mapan, pelancongan warisan, ekonomi yang berdaya saing dengan tidak mengenepikan kepentingan warisan ketara juga tidak ketara,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke lokasi berkaitan di sini baru-baru ini.

Premis milik MPPP berkeluasan (keluasan bangunan) 12,545 kaki persegi tersebut sebelum ini pernah disewakan kepada umum sejak 1956, namun sebahagian penyewanya meninggalkan lot berkenaan pada 2001, 2002, 2012 kecuali lot 100 yang masih beroperasi sebagai kedai audio sehingga kini.

Langkah pemuliharaan tersebut terpaksa diambil setelah tempoh kertas kerja kemuka cadangan (RFP) yang tamat tempoh pada November 2014 menunjukkan tiada pihak yang berminat memajukan lot-lot tersebut.

Menurut Guan Eng, selaras dengan pelaksanaan tersebut, sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi mengurus dan meneliti projek terbabit dengan lebih teratur, terperinci dan menepati keperluan.

“Jawatankuasa ini adalah terdiri daripada agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) yang bersedia mendengar pandangan dan maklumbalas daripada pihak awam bagi usaha terulung dan kali pertama diadakan.

“Kajian menyeluruh ini adalah sangat penting untuk menentukan kos serta mengelakkan struktur bangunan ini terus terbiar usang demi imej Tapak Warisan Dunia George Town,” jelas beliau.