Akta Perkhidmatan Awam, usaha tambah baik perkhidmatan awam di semua peringkat

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menggubal Akta Perkhidmatan Awam bagi menambah baik perkhidmatan awam di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia, Datuk Borhan Dolah berkata, akta itu akan dibentangkan di Parlimen tahun hadapan.

Beliau berkata demikian pada sesi kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar, sebentar tadi.

Mengiringi beliau, Pengarah Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar JPA, Datuk Suhaime Mahbar dan Ketua Unit Komunikasi Korporat JPA, Jaafar Jantan.

Menurut Borhan, penggubalan akta tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk mendekati anggota perkhidmatan awam di negara ini.

“Selain itu, akta ini juga merupakan suatu garis panduan untuk anggota pentadbiran awam kerana ia (akta) merangkumi penambahbaikan semua perkara di semua peringkat,” katanya.

BORHAN Dolah (duduk) menandatangani buku tetamu sambil diperhatikan oleh Farizan Darus (berdiri, kanan) dan Suhaime Mahbar di Komtar tadi.

Pada pertemuan selama 30 minit itu, turut dibincangkan adalah lantikan anggota pentadbiran awam kumpulan pengurusan dan profesional, pengrekrutan baharu serta pertukaran kakitangan di peringkat kumpulan pelaksana, kumpulan pengurusan dan profesional yang melibatkan anggota perkhidmatan awam serta pihak berkuasa tempatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Ghazali Derahman turut serta dalam pertemuan tersebut.

Difahamkan, petang ini, Borhan dan anggota delegasi akan mengadakan kunjungan hormat bertemu Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara.

Borhan dilantik sebagai KPPA yang baharu pada Julai lalu bagi menggantikan Tan Sri Zainal Rahim Seman yang tamat tempoh kontrak.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN