Tubuh Skuad Banjir Bukit Tengah, persiapan hadapi peralihan monsun  – ADUN

GOOI Hsiao-Leung (kemeja putih, tengah) bergambar bersama pihak-pihak yang terlibat dalam penubuhan SBBT hari ini.

BUKIT TENGAH – Bagi menghadapi peralihan monsun yang dijangkakan berlaku dari bulan Oktober hingga November ini, tujuh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bukit Tengah mengambil inisiatif menubuhkan skuad khas, Skuad Banjir Bukit Tengah (SBBT), hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit, Gooi Hsiao-Leung berkata, usaha menubuhkan skuad khas itu adalah bagi memastikan persiapan awal dapat dijalankan sekira berlakunya banjir.

Skuad khas ini akan wujudkan satu pusat operasi tetap di sini bagi memastikan persiapan awal dapat dilakukan untuk kurangkan permasalahan kalau ada banjir besar berlaku, juga bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus kepada penduduk kerana ianya adalah sangat penting.

Selain itu fungsi SBBT ini ialah untuk laksanakan segala kerja-kerja kecemasan berdasarkan situasi pada tahun lepas (bencana banjir besar),” ujarnya pada sidang media dekat Balai Bomba dan Penyelamat Sukarela Juru, Jalan Sebelas, pagi ini.

Turut hadir Komander SBBT, Koay Kok Beng; pengerusi-pengerusi JKKK setempat serta wakil daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Antara fungsi lain yang dinyatakan oleh Hsiao-Leung termasuklah memberikan maklumat kepada orang awam berkenaan banjir dan jenis bantuan, koordinasi kawasan banjir bersama-sama agensi kerajaan berwajib, mengenal pasti kawasan banjir dan usaha pembersihan saliran tersumbat.

Tambahnya lagi, dalam menangani banjir kawasan Bukit Tengah, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM290,000 tahun ini untuk penyelenggaraan sungai dan perparitan di Bukit Tengah.

Saya difahamkan bahawa Bukit Tengah juga ada rancangan tebatan banjir (RTB) di Parit Lima berjumlah RM14.6 juta dan di Parit Empat berjumlah RM16.9 juta dan kedua-dua projek ini dijangka siap pada 15 Mac 2020 nanti,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung inisiatif SBBT ini, boleh layari Facebook SBBT di www.facebook.com/BukitTengahFloodRelief/ atau hubungi talian helpline di 016-483 6012.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI