Akuan sumpah Phang dibuat dengan rela hati – Boon Poh

GEORGE TOWN – Akuan bersumpah yang telah dibuat oleh penjual rumah banglo di No.25, Jalan Pinhorn, Phang Li Koon dibuat dengan rela hati dan bukannya seperti yang didakwa oleh Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh melalui kenyataan medianya pada 23 Mac lalu membidas dakwaan Abdul Rahman yang juga merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menyindir bahawa akuan bersumpah Li Koon sebagai “perbuatan orang yang bersalah”.

“Sewajarnya, Abdul Rahman menjaga maruahnya dengan bercakap benar dan bukannya mencari jalan untuk menarik perhatian umum dengan tuduhan tidak berasas terhadap niat baik Li Koon (membuat akuan sumpah).

“Apatah lagi, akuan tersebut dibuat dengan kerelaan hatinya sendiri dan bukannya seperti yang didakwa oleh akhbar ‘kawalan’ UMNO,” katanya yang terkilan dengan dakwaan sesetengah pihak sehingga menjejaskan reputasi peribadi dan keluarga Li Koon.

Akuan bersumpah yang dibuat pada 22 Mac 2016 itu antara lain menyatakan Li Koon menjual banglo miliknya itu kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berdasarkan kerelaan antara penjual dan pembeli.