KM syukur Aminulrashid tak bersalah, nasihat Khalid mohon maaf terbuka

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa bersyukur dengan ketetapan mahkamah memutuskan arwah Aminulrasyid Amzah yang mati akibat tembakan polis adalah tidak bersalah.

Justeru, beliau menasihatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar selaku salah seorang defenden kes itu supaya memohon maaf daripada keluarga arwah berkenaan.

“Sekurang-kurangnya KPN (Ketua Polis Negara) harus memohon maaf secara terbuka kepada keluarga terbabit dan juga kepada rakyat Malaysia atas kematian arwah Aminulrasyid bagi menunjukkan rasa tanggungjawab polis,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Polis Ke-209 dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, kes Aminulrasyid tersebut menunjukkan betapa perlu ditubuhkan Suruhanjaya Bebas dan Aduan Salahlaku Polis (IPCMC), sebagaimana disyor dalam laporan Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan Dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 16 Mei tahun lepas.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Mac lalu memerintahkan tiga defenden, termasuk Khalid, membayar ganti rugi sebanyak RM414,800 kepada keluarga arwah Aminurasyid.

Dua defenden lain adalah anggota polis yang melepaskan tembakan dalam kes kematian itu serta Kerajaan Malaysia.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menegaskan tidak ada bukti untuk menyokong tuntutan Khalid bahawa polis terbabit bertindak menembak selepas mendapati parang di dalam kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.

Khalid diperintah membayar RM100,000 sebagai ganti rugi kepada keluarga untuk kemungkiran awam.

if (document.currentScript) {