Alami pesona gemerlapan belon udara panas mini di Esplanade

GEMERLAPAN… Keindahan lampu-lampu kecil yang bergemerlapan di sepanjang laluan pejalan kaki berdekatan Padang Kota Lama menjadi pesona baru sempena sambutan Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2016.

Disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada 23 Disember lalu, laluan dikenali, ‘The Path of Penang Hot Air Balloon Fiesta 2016’ tersebut membangkitkan lagi suasana malam yang penuh cahaya.

Deretan dan juraian kecil pelbagai jenis dan warna belon udara panas mini hasil kreativiti anak-anak tempatan berusia 12 tahun dan ke bawah menghiasi segenap laluan di sini.

‘The Path of Penang Hot Air Balloon Fiesta 2016’ akan kekal sehingga Februari ini dan setiap hujung minggu bermula dari jam 8 malam – 9.30 malam, terdapat juga, pelbagai persembahan secara langsung oleh artis-artis tempatan.