MPSP harap kontrak komuniti tingkatkan kebersihan & landskap setempat

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berharap dengan adanya kontrak komuniti program pembersihan yang diserahkan kepada persatuan penduduk di bawah Projek Perumahan Rakyat ( P P R ) Ampangan ia dapat meningkatkan kualiti pembersihan dan landskap setempat ke tahap yang lebih baik.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata, kontrak komuniti yang baru diperkenalkan tersebut memberi banyak kelebihan kepada penyewa di PPR Ampangan memandangkan keanggotaan pekerja pembersihan dipilih dalam kalangan penyewa sendiri.

“Secara tidak langsung, konsep kontrak komuniti ini juga dapat menjana pendapatan kepada penyewa – penyewa di PPR Ampangan selain menggalakkan suasana persekitaran yang bersih, indah dan selesa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kontrak  Komuniti Program Pembersihan, Penubuhan Pejabat Persatuan Penduduk PPR Ampangan dan Pusat Sumber PPR Ampangan di Dewan Orang Ramai Ampang Jajar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Aloyah A. Bakar; Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Ampangan, Mohd. Asri Othman serta penduduk setempat.

Maimunah memberitahu, sebelum ini, kontrak pembersihan dan kerja-kerja penyelenggaraan di PPR Ampangan diserahkan kepada kontraktor yang dilantik melalui tender terbuka.

Namun, jelasnya, pada tahun 2014, PWDC telah mencadangkan supaya kerja-kerja pembersihan berkaitan diserahkan kepada persatuan penduduk.

“Setelah dikaji di peringkat MPSP dengan menjadikan kontrak pembersihan di PPR Jalan Sungai Pinang sebagai panduan, bermula 1 Januari lalu, pemberian kontrak komuniti program pembersihan ini direalisasikan di sini,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Maimunah memberitahu bahawa antara kelebihan pelaksanaan kontrak komuniti pembersihan tersebut adalah termasuk menjadikan komuniti setempat sebagai agen perubahan kepada pembangunan negeri iaitu ‘orang tengah’ antara penduduk dan Kerajaan Tempatan, di samping melatih ahli-ahli persatuan penduduk menjadi pemimpin dalam menguruskan sesebuah organisasi.

Kontrak komuniti program pembersihan di PPR Ampangan adalah untuk tempoh dua tahun iaitu bermula pada 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2016.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);