Amalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti kesukanan, seru ADUN

Admin

PADANG LALANG – Seramai 25,000 peserta menggegarkan stadium Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Bukit Mertajam bersempena penganjuran program Fit Malaysia 2019, semalam.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee menzahirkan rasa bangga terhadap jumlah penyertaan yang sangat menggalakkan bagi program tersebut.

Antara pengisian sepanjang program berlangsung.

“Saya berharap semangat kesukanan ini dapat diteruskan setiap hari walaupun dengan hanya bersukan selama 30 minit.

“Saya difahamkan program berbentuk kesukanan sentiasa dianjurkan setiap minggu untuk warga negeri.

“Justeru, rakyat Pulau Pinang haruslah sentiasa sihat dan saya menggalakkan lagi masyarakat untuk terus menjalankan aktiviti bersifat kesukanan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal semasa berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin.

Turut serta, ADUN Berapit, Heng Lee Lee; ADUN Bertam, Khalid Mehtab Mohd. Ishaq dan Yang Di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Sementara itu, Syed Saddiq yang turut berucap memberitahu bahawa penganjuran program Fit Malaysia edisi Pulau Pinang mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi berbanding edisi-edisi lain seperti di Selangor dan Terengganu.

“Saya berharap agar budaya sukan ini akan terus diterapkan untuk meraikan semangat kesukanan yang tinggi oleh semua lapisan masyarakat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Muar, Johor.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NUR AFIQAH ZAINUDI