LEBIH dua dekad menceburi ‘industri durian’, pemilik Song Hai’s Durian, TANG BOON LEY bukan sekadar peniaga biasa.
Bermula dari satu meja kecil di halaman rumah, kini beliau memiliki pelanggan tetap dari seluruh negara sehinggalah ke peringkat antarabangsa hasil keenakan dan keunikan rasa durian dari dusunnya yang berusia lebih 60 tahun di Gertak Sanggul.
Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD hari ini mendekati Boon Ley di premisnya yang terletak di 26, Jalan Merak, Sungai Dua.
Lebih menarik, baru-baru ini Boon Ley dinobatkan sebagai juara dan memperolehi Anugerah Durian Varieti Udang Merah Terbaik sempena Pesta Durian Pulau Pinang 2025 baru-baru ini.
Menurut Boon Ley, dusun yang terletak di Gertak Sanggul adalah milik keluarga.
“Sebelum terlibat dalam perniagaan durian secara serius, selalu (dusun tersebut) bagi orang secara pajakan.
“Jadi susah apabila ada (pihak yang memajak) tidak bayar cukup, bagi alasan tidak laku dan sebagainya, maka saya cuba jual sendiri.
“Masa itu mula rasa seronok, 20 tahun lalu saya ambil keputusan buat (jualan) sendiri,” ujarnya mengimbau permulaan perniagaannya tersebut.
Difahamkan, premis di Jalan Merak memang mempunyai lesen khas daripada pihak berkuasa tempatan, agar penggemar durian boleh makan di sini tanpa perlu ke kebunnya.
Jika ada yang berhasrat makan di kebunnya, Boon Ley bersedia menerimanya secara tempahan sahaja.
Menceritakan tentang kualiti Udang Merah atau ‘Ang He’ yang dimilikinya, Boon Ley memberitahu antara faktor keenakan dari kebunnya adalah faktor usia pokok yang tua.
“Kawasan di situ (Gertak Sanggul) memang strategik, tanah bukit, ada angin laut, batu yang bekalkan mineral semula jadi.
“Itu antara sebab saya percaya durian Udang Merah di situ sedap.
“Satu dahan tak boleh banyak, kalau ada 10 biji, saya simpan lima atau enam sahaja, barulah nutrien-nutrien yang diperlukan cukup kepada buah, kita tidak mahu pokok stres, nanti buah tak elok,” katanya yang kini mampu menuai 2,000 biji durian dari lebih 30 pokok setiap musim.
Walaupun terkenal dengan Udang Merah, Boon Ley juga memberi tumpuan kepada jenis seperti Tupai King, Musang King dan Duri Hitam seiring dengan permintaan semasa.
Durian-durian premium dari dusun Boon Ley membolehkan hasilnya dihantar ke Kuala Lumpur, Johor, Hong Kong dan China melalui rakan niaganya.
“Tidak terkecuali, permintaan daripada industri-industri hiliran yang mendapatkan bekalan durian untuk pemprosesan menjadi ais krim, kek, kuih dan bermacam-macam lagi,” katanya.
Bercakap mengenai cabaran, Boon Ley menegaskan gangguan monyet dan tupai adalah musuh utama.
“Antara kaedah kreatif yang saya gunakan seperti memasang muzik, patung seakan-akan manusia dan menggunakan anjing, kadangkala menggunakan mercun apabila perlu.
“Sekarang ada lebih kurang 10 orang pekerja (kontrak) ronda secara bergilir bagi memastikan buah dikutip dan dusun terjaga,” ulasnya lagi.
Menyentuh berkenaan harapan, Boon Ley berharap nama durian Pulau Pinang dapat dimartabatkan ke peringkat lebih tinggi.
Malah, dengan pengalaman lebih 20 tahun dan tekad untuk mengekalkan warisan buah tangan Pulau Pinang, Boon Ley memberitahu bahawa beliau akan terus menjadi antara penggiat industri durian di negeri ini.