SUNGAI DUA – Penggunaan tembakau dan vape dalam kalangan remaja di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan dan membimbangkan.
Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi
bagi Remaja, prevalens penggunaan produk tembakau dan vape dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun di Pulau Pinang telah meningkat daripada 8.6 peratus pada tahun 2017 kepada 14.3 peratus pada tahun 2022.
“Trend ini amat membimbangkan kerana nikotin boleh menyebabkan ketagihan pada usia muda serta memberi kesan terhadap perkembangan otak, pembelajaran dan kesejahteraan diri.
“Lebih membimbangkan, industri vape hari ini bukan sekadar menjual produk, tetapi turut mempromosikan imej, gaya hidup dan identiti yang menarik minat golongan muda melalui pelbagai perisa, reka bentuk produk dan strategi pemasaran yang agresif.
“Sebagai sebuah negeri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong sepenuhnya segala usaha untuk melindungi remaja dan kanak-kanak daripada terdedah kepada produk tembakau dan vape.
“Sehubungan itu, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan perlindungan kesihatan rakyat, khususnya generasi muda,” ujarnya pada Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Kolej Tingkatan Enam Desa Murni di sini pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dato’ Dr. Fazilah Shail Allaudin; Timbalan Pengarah JKNPP (Kesihatan Awam), Dr. Rozaini Mat Shah; Timbalan Pegawai Pendidikan
Sektor Perancangan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Ahmad Firdaus dan dif-dif jemputan lain.
Tambah Zi Sen, usaha membendung ketagihan produk tembakau dan vape tidak seharusnya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
“Melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi bagi Remaja di Pulau Pinang tahun 2022 juga mendapati bahawa 36 peratus rokok elektronik atau vape yang digunakan oleh remaja didapatkan di kedai penjualan
tetap dan 34 peratus diperoleh daripada rakan-rakan dan 8.1 peratus diperoleh daripada ahli keluarga.
“Dapatan ini menunjukkan bahawa akses kepada produk rokok elektronik dan vape masih mudah diperoleh oleh golongan remaja.
“Namun saya percaya Pulau Pinang mampu terus menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam usaha membina masyarakat yang lebih sihat, produktif dan sejahtera
melalui kerjasama erat antara kerajaan, sektor kesihatan, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan komuniti setempat,” katanya lagi.