Anugerah Green Pinang tarik umum lebih sensitif jaga alam

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Donat Anthony Theseira dan Mylene Ooi dipilih memenangi Anugerah Kemampanan Alam Sekitar Pulau Pinang buat kali pertama diperkenalkan pada kali ini, manakala, Loh Poh Chen pula dipilih sebagai pemenang kategori Anugerah Pemuliharaan Alam Sekitar Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap pengenalan dua anugerah baharu mulai Majlis Anugerah Green Pinang 2015 mampu menarik lebih ramai pihak supaya lebih sensitif dengan peri penting memulihara alam sekitar.

“Kedua-dua anugerah ini memberi penghormatan kepada organisasi dan individu yang secara berterusan memberikan komitmen, dedikasi dan kepimpinan mereka untuk menambah baik dan memulihara alam sekitar.

“Kami (Kerajaan Negeri) berharap ia akan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk berusaha bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang mampan serta sesuai didiami dengan menyediakan persekitaran hidup yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat,” ucapnya pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir merangkap ADUN Padang Kota) dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya) dan Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) serta Thing Siew Shuen (Pengurus Besar Penang Green Council, PGC).

Pada majlis tersebut, Guan Eng turut menyerahkan Sijil Projek Pejabat Hijau Pulau Pinang (PGO) dengan pensijilan Aqua Save kepada 22 syarikat swasta, antaranya Kean Beng Lee Industries (M) Sdn. Bhd., Cycle Trend Industries Sdn. Bhd., Shan Poornam Metals Sdn. Bhd., DHL Supply Chain (Malaysia) Sdn. Bhd. dan HGST Technologies Malaysia Sdn. Bhd..

“Mulai tahun depan, Pejabat Hijau Pulau Pinang akan menjangkau 26 pejabat utama kerajaan di Pulau Pinang.

“Sasaran kami adalah untuk mencapai 100 peratus Pejabat Hijau dalam sektor kerajaan menjelang akhir 2018,” ujar Guan Eng yang juga ADUN Air Putih.

Difahamkan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muda dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kebun Sireh masing-masing dipilih menerima Anugerah Sekolah Hijau 2015 bagi kategori masing-masing.

Manakala, Ng Chuck Chuan, Futurec Electrical Sdn. Bhd., Citigroup Transaction Services (M) SV dan Cradotex Technology Sdn. Bhd. masing-masing turut dipilih menerima Anugerah Sijil Penghargaan Gala Hijau.

Turut menerima anugerah adalah wartawan serta ahli fotografi yang gigih melaporkan mengenai isu-isu berkaitan pemuliharaan alam sekitar.

Wartawan Sinar Harian, M. Gokina, Imran Hilmy Tawfik Hilmy (The Sun), Christopher Tan Yuet Han (The Star), Lee Kelvin (Guang Ming Daily), Chan Seok Shan (Oriental Daily) dan A. Subatra (Makkal Osai) diberi Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang bagi kategori penulisan “berita keras”.

Wartawan Sinar Harian, Siti Nadiah Ahmad Ahmad Zamlus, Christina Chin Swee Gaik (The Star), Cavina Lim Ai Li (The Star), Lau Ch’or Shang (Guang Ming Daily) serta Chow Shuang Yen dan Lai Thiem Wang (Nanyang Siang Pau) diberi anugerah sama bagi kategori penulisan rencana.

Wartawan Guang Ming Daily, Chuang Chin Keong dipilih sebagai johan anugerah sama bagi kategori Foto Kewartawanan, manakala, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Tang Khoon Beng (Kwong Wah Yit Poh) dan Cheam Sin Khai (Guang Ming Daily).