Pelajar kumpul 3kg bahan kitar semula dalam sebulan, sasar MPSP

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyasarkan supaya setiap pelajar dapat mengumpul sekurang-kurangnya tiga kilogram (kg) bahan-bahan buangan seperti kotak, plastik dan sisa organik dalam tempoh sebulan sebagai usaha meningkatkan kesedaran berhubung inisiatif tersebut di negeri ini.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata, dengan memaksimumkan kadar kitar semula dan meminimumkan pembuangan sisa pepejal, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan MPSP pada aspek pengurusan sisa pepejal.

“Pada 2014, MPSP telah mengumpulkan 234,805 tan bahanbahan kitar semula yang mana 70 peratus daripadanya adalah kertas serta kadbod, plastik (30 peratus).

“Sehingga Oktober lalu, MPSP telah mengitar semula 244,029.48 tan sampah dengan membabitkan penjimatan sebanyak RM4,929,395.40 iaitu RM20.20 bagi setiap tipping fee,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah Bagi Tahun 2015 di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud dan Ahli-ahli Majlis MPSP.

Menurut Maimunah, pertandingan tersebut adalah terbahagi kepada tiga kategori iaitu Kategori Boleh Dikitar Semula (bahan-bahan plastik, kotak dan sisa organik dan kemudian dijual), Kategori Tidak Boleh Dikitar Semula dan Kategori Sisa Organik yang mana bahan-bahan tersebut dikomposkan.

“Kategori sekolah rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Kebun Sireh dengan kutipan mata sebanyak 40,000 manakala bagi kategori sekolah menengah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syeh Barakbah dengan kutipan mata 20,000.

“Juara pertandingan masing-masing membawa pulang peralatan senaman air walker dan leg press ditaja syarikat Infitech Machinery Sdn. Bhd.,’’ ujar beliau.

}