Apa kata EXCO lama & baru?

Admin

EXCO BARU

a. Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo:

“Saya akan berdepan dengan cabaran baru dengan bidang tugas baru ini.

“Setelah diberi kepercayaan ini, saya bercadang ‘melepaskan’ praktis guaman saya dan akan menulis surat kepada pihak Bar Council untuk memaklumkan perkara ini,’’ katanya sambil menyatakan bahawa beliau akan terus menuntut peruntukan RM150 juta dari Kerajaan Pusat berhubung pelaksanaan Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang Fasa II di Dewan Undangan Negerinya.

b. Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin:

“Banyak benda yang perlu dipelajari. Justeru, saya mengharapkan tunjuk ajar daripada senior dan kumpulan kukuh dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Walaupun saya merupakan Exco termuda (28 tahun), saya akan meneruskan prestasi baik portfolio ini dengan cekap dan terbaik,’’ ujarnya sambil menyatakan bahawa ciri-ciri dan pengalaman kerja sebagai doktor perubatan sebelum ini bakal membantunya dalam memikul amanat yang diamanahkan.

c. Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian merangkap ADUN Padang Lalang, Chong Eng:

“Saya berterima kasih kepada Lydia Ong (mantan Exco) atas jasanya dalam 5 tahun yang lepas. Saya akan sambung kerja-kerja yang sedia ada dan berjuang untuk kesaksamaan gender.

“Dalam bidang kesenian pula, saya akan minta tolong daripada suami yang bekerja sebagai pekerja seni dan akan sedaya upaya memperkembangkan aktiviti-aktiviti seni dalam negeri,’’ ujar beliau.

BEKAS EXCO

a. Mantan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman :

“Saya akan terus ‘berkhidmat’ di Parlimen dan saya percaya barisan Exco baru Kerajaan Negeri mampu mencapai prestasi memberangsangkan dengan mengukir beberapa pencapaian nombor 1,’’ katanya lagi.

b. Mantan Exco Perancangan Bandar & Desa, Perumahan dan Kesenian merangkap ADUN Air Itam, Wong Hon Wai:

“Ia adalah suatu pengalaman menarik.

“Selepas ini, saya akan berada di barisan belakang yang mana juga bakal menjanjikan suatu perjalanan dan pengalaman yang menarik. Saya berharap Exco Perumahan yang baru dapat membuat susulan terhadap projek-projek rumah yang masih dalam proses termasuk Majestic Heights,’’ katanya.

c. Mantan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti merangkap ADUN Berapit, Lydia Ong Kok Fooi :

“Saya berharap senior saya, YB Chong Eng dapat lakukan dengan lebih baik berdasarkan pengalamannya dalam aspek hak-hak wanita.

“Saya gembira kerana dapat meluangkan lebih masa bersama ibu saya yang berusia 75 tahun. Anak-anak saya juga gembira, malah, penduduk (DUN) Berapit juga,’’ ujar beliau.