Mohd. Rashid Timbalan Ketua Menteri I baru

Admin

Oleh : YAP LEE YING & AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Mohd. Rashid Hasnon, 53, dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I menggantikan Datuk Mansor Othman yang kini bergelar Ahli Parlimen Nibong Tebal pada Upacara Mengangkat Sumpah Terima Jawatan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Majlis pelantikan dan angkat sumpah terima jawatan Mohd. Rashid dijalankan dengan penuh istiadat di hadapan Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas sambil disaksikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Dengan pelantikan tersebut, Mohd. Rashid yang merupakan Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bayan Baru sejak tahun 2010 hingga kini bakal menerajui portfolio Pembangunan Industri Perdagangan Antarabangsa, Koperasi & Perhubungan Masyarakat, Pembangunan Keusahawanan.

Turut hadir menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut adalah barisan kepimpinan Ahli-ahli Majlis baru dan pucuk pimpinan Kerajaan Negeri.

Mohd. Rashid yang mendirikan rumahtangga dengan Nor Azizah Haron mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Muar dan Maktab Tentera Diraja (RMC), Sungai Besi.

Beliau menamatkan peringkat A-Level di Southampton Technical College, United Kingdom (UK) dan seterusnya menerima Bachelor of Control Engineering, University of Sheffield, UK. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian dalam bidang Master in Business Administration (MBA) di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1990.

Ketika ditemui, Mohd. Rashid menyatakan bahawa barisan Exco Kerajaan Negeri yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan peringkat umur adalah suatu perubahan yang proaktif dan bagus.

“Pakatan Rakyat telah mentadbir selama lima tahun sebelum ini dan lima tahun mendatang, inshaAllah, tidak akan ada sebarang masalah.

“Kita (barisan kepimpinan) perlu tekad dan kerja keras demi rakyat,’’ katanya selepas selesai majlis pelantikan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, barisan Exco yang dikekalkan adalah ADUN Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy sebagai Timbalan Ketua Menteri II; ADUN Padang Kota, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir); ADUN Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Agama); ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom), Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi); ADUN Batu Lanchang, Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan); ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar).

Exco-exco baru dilantik adalah ADUN Padang Lalang, Chong Eng memegang portfolio Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian; ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo (Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) ; ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin (Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan).

Portfolio Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Warisan & Hal Ehwal Agama Bukan Islam kekal di bawah Ketua Menteri yang merupakan ADUN Air Putih yang juga Ahli Parlimen Bagan.

PORTFOLIO AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 2013-2018

1) YAB TUAN LIM GUAN ENG
a. Ketua Menteri
b. Pengerusi Jawatankuasa:-
 Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah,
 Penerangan,
 Warisan & Hal Ehwal Agama Bukan Islam
2) YB TUAN MOHD. RASHID HASNON

a. Timbalan Ketua Menteri I
b. Pengerusi Jawatankuasa:
 Pembangunan Industri Perdagangan Antarabangsa,
 Koperasi & Perhubungan Masyarakat,
 Pembangunan Keusahawanan
3) YB TUAN PROF. DR. P. RAMASAMY

a. Timbalan Ketua Menteri II
b. Pengerusi Jawatankuasa:
 Perancangan Ekonomi Negeri,
 Pendidikan & Sumber Manusia,
 Sains, Teknologi Dan Inovasi
4) YB TUAN CHOW KON YEOW

Pengerusi Jawatankuasa:
 Kerajaan Tempatan,
 Pengurusan Lalulintas,
 Tebatan Banjir
5) YB DATUK ABDUL MALIK ABUL KASSIM

Pengerusi Jawatankuasa:
 Hal Ehwal Agama Islam,
 Perdagangan Dalam Negeri
 Hal Ehwal Pengguna
6) YB PUAN CHONG ENG

Pengerusi Jawatankuasa:
 Belia & Sukan,
 Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti
 Kesenian
7) YB TUAN LIM HOCK SENG

Pengerusi Jawatankuasa:
 Kerja Raya,
 Utiliti (Tenaga, Air, Telekom)
 Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi)
8) YB TUAN LAW HENG KIANG

Pengerusi Jawatankuasa:
 Pembangunan Pelancongan
 Kebudayaan
9) YB TUAN PHEE BOON POH

Pengerusi Jawatankuasa:
 Kebajikan,
 Masyarakat Penyayang,
 Alam Sekitar
10) YB TUAN JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH

Pengerusi Jawatankuasa:
 Perancangan Bandar & Desa
 Perumahan
11) YB DR. AFIF BAHARDIN

Pengerusi Jawatankuasa:
 Pertanian & Industri Asas Tani,
 Pembangunan Luar Bandar
 Kesihatan