Aplikasi ‘Trash2Treasure’ tingkat inisiatif teknologi hijau PP

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNPenang Green Council Strategies Sdn. Bhd. (PGC) baru-baru ini melancarkan aplikasi mudah alih ‘Trash2Treasure’ sebagai menyokong visi Kerajaan Negeri ke arah meningkatkan efisiensi proses tukar dagang barangan kitar semula di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merangkap Pengerusi PGC berkata, aplikasi itu menyediakan kemudahan kepada pengguna telefon pintar mudah alih mahupun tablet untuk mencari pusat-pusat kitar semula yang terdekat dengan kediaman masing-masing.

Selain itu, jelas beliau, ia juga turut memberi peluang kepada pengguna bagi mencari pembeli bagi proses tukar dagang barangan kitar semula di Pulau Pinang melalui menu pilihan ‘Trade In Your Ex’.

“Aplikasi ini berpotensi besar dalam mempertingkatkan inisiatif teknologi hijau di Pulau Pinang, sekaligus menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan barangan kitar semula kepada umum,” katanya pada sidang media Pelancaran Aplikasi Mudah Alih ‘Trash2Treasure’ di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar selaku Naib Pengerusi PGC, Phee Boon Poh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai dan Pengurus Besar PGC, Thing Siew Shuen.

Dalam pada itu, tambah Guan Eng, sejak Kerajaan Negeri melarang penggunaan bekas makanan polisterina dan beg plastik di semua kompleks membeli-belah, kadar kitar semula di Pulau Pinang mencapai kadar tertinggi iaitu sebanyak 32 peratus sepanjang tahun 2014.

“Kadar kitar semula 32 peratus yang dicapai ini jauh melebihi kadar kitar semula kebangsaan terkini iaitu 10.5 peratus dan sasaran negara sebanyak 22 peratus kadar kitar semula menjelang 2020.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap Pulau Pinang mampu mencapai piawaian antarabangsa iaitu 40 peratus kadar kitar semula pada tahun 2020,” ujarnya yang turut menyeru semua rakyat Pulau Pinang supaya dapat memainkan peranan penting dalam usaha mengurangkan kos pengurusan sisa buangan dan seterusnya menjadi negeri pertama mengekalkan kehijauan di negeri ini.

Aplikasi ‘Trash2Treasure’ boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store atau Apple App Store.

Maklumat lanjut, boleh hubungi PGC di talian 04 – 250 3321 / 3322 atau melalui laman sesawang, www.pgc.com.my