ASPEN taja 12 OKU penglihatan sertai PBIM 2024

Admin
img 20240702 wa0030

GEORGE TOWN – ASPEN Group (ASPEN) menaja 12 orang kurang upaya (OKU) penglihatan untuk menyertai Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang Aspen-Klippa (PBIM) sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Penajaan melibatkan 10 orang pelajar Rumah St. Nicholas dan pelari OKU penglihatan Darren Yuen dan Helen Davis.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, merupakan satu sejarah bagi PBIM kerana pertama kali sebilangan besar individu OKU penglihatan akan menyertai maraton.

“Objektif utama ASPEN dalam penajaan ini adalah untuk memberi peluang kepada mereka (OKU penglihatan) untuk mengatasi keterbatasan mereka dan menikmati aktiviti sukan luar bersama orang lain.

“Para peserta akan bertanding dalam acara 10km, 21km, dan maraton penuh, masing-masing berpasangan dengan empat Pemandu Pelari Buta (BGR) yang berusia 15 tahun dari Ramakrishna Ashrama,” katanya pada sidang media dekat Komtar, di sini semalam.

img 20240702 wa0033
WONG Hon Wai.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Eksekutif ASPEN, Dato’ Seri Nazir Ariff; Pengarah Urusan ASPEN, A. Anilarasu; Ketua Pegawai Kewangan ASPEN, Lim Soo Aun; Pengurus Besar Rumah St. Nicholas, Carmen Chew; Pengumpul Dana Amal ‘Darren Going Forward ‘, Darren Yuen; Pengarah Pemasaran Howei, Samuel Shee; Pengerusi The Ramakrishna Ashrama, K. Ramasamy dan Setiausaha Kehormat Pusat Kanak-Kanak Istimewa, Rayson Khoo.

Hon Wai memaklumkan bahawa inisiatif ini bukan sahaja mengenai penyertaan tetapi juga atas dasar mempromosikan kesedaran dan sokongan terhadap usaha Rumah St. Nicholas yang membantu masyarakat golongan cacat penglihatan.

“(Di samping itu), Darren akan mengumpul dana untuk mereka yang kurang bernasib baik di bawah sepanduk ‘Darren Going Forward’ yang dipromosikan melalui akaun Facebook miliknya.

“Darren akan menyumbangkan semua dana yang dikumpul kepada Pusat Kanak-Kanak Istimewa Pulau Pinang dan The Ramakrishna Ashrama.

“ASPEN berbangga untuk membantu merealisasikan impian Darren bagi memperjuangkan keterangkuman, memperkasakan orang berkeperluan khas untuk mengatasi batasan, dan memupuk rasa empati yang lebih besar dalam masyarakat,” ujar Hon Wai kepada pemberita.

Difahamkan ‘Cabaran Separuh Maraton PBIM Darren: Pengumpulan Dana untuk Amal’ akan bermula pada 3 Julai dan berakhir pada 18 Disember 2024.

Mengulas lanjut, Hon Wai yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong turut mengumumkan pelancaran reka bentuk pingat PBIM, dengan kerjasama ASPEN dan EMICO, penaja rasmi untuk pingat PBIM tahun ini.

img 20240702 wa0035
PELBAGAI jenis pingat bagi kategori PBIM yang berbeza.

“Tiga reka bentuk berbeza untuk setiap kategori disediakan dengan mencerminkan semangat ketabahan dan pencapaian yang sinonim dengan acara maraton.

“Setiap pingat menampilkan elemen unik yang melambangkan perjalanan dan dedikasi setiap peserta.

“Sebagai tambahan kepada ciri unik ini, reka bentuknya adalah inspirasi daripada jalan berbentuk empat daun semanggi yang ikonik di Batu Kawan memandangkan maraton kali ini akan bermula di Batu Kawan dan merentasi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebelum kembali ke garisan penamat di Batu Kawan,” tambahnya.

Setakat ini seramai lebih 13 ribu pelari yang telah mendaftar sejak permohonan dibuka pada April yang lalu.

Sebarang maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari laman web rasmi maraton di https://www.penangmarathon.gov.my

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI