MBPP perbaharui MoU dengan IAPWA, sumbang RM100,000

Admin
314d2788 5bdd 4b3c 977a 080e93c68bba

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pertubuhan Bantuan Antarabangsa Bagi Perlindungan dan Kebajikan Haiwan (IAPWA) memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun dalam usaha menguruskan haiwan terbiar di kawasan pulau.

Pada majlis sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran menyampaikan sumbangan RM100,000 sebagai menyokong usaha IAPWA menguruskan haiwan-haiwan terbiar ini dengan lebih berkesan dan berperikemanusiaan.

“Pelaksanaan program ini bertujuan untuk mencapai matlamat menjadikan kawasan pentadbiran MBPP bebas daripada masalah anjing liar dan terbiar supaya keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat daripada kacau ganggu anjing liar dan terbiar dapat dipelihara.

“Setakat 17 Mei 2026, sebanyak 8,484 ekor anjing telah berjaya dimandulkan di bawah program ini.

“Pencapaian ini menunjukkan komitmen berterusan MBPP bersama rakan strategik dalam menangani isu haiwan terbiar secara mampan dan berperikemanusiaan,” jelas Rajendran ketika berucap sempena Majlis Pembaharuan MoU MBPP-IAPWA  dan Penyerahan Sumbangan dekat Dewan Bandaran, Padang Kota pagi tadi.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Ahli-ahli Majlis MBPP, Presiden IAPWA Penang, Choon Koon Yean, Pengerusi Eksekutif Pentamaster Corporation Berhad, Datuk Chuah Choon Bin; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Greatech Technology Berhad, Koay Lin Lin dan Pengurus Operasi IAPWA Penang, Janice Tan Yuxian.

MoU tersebut akan diperbaharui bermula 31 Mei ini sehingga lima tahun.

Mengulas lanjut, Rajendran memaklumkan bantuan RM100,000 itu bertujuan menampung sebahagian kos operasi yang ditanggung oleh IAPWA agar program TNR (trap, neuter & release) dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan berterusan.

 

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan atas sumbangan Pentamaster Group dan Greatech Technology Berhad sebanyak RM100,000 setiap satu dan Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang (RM5,000).

Terdahulu, Rajendran memaklumkan Kerjasama antara MBPP-IAPWA telah bermula sejak pemeteraian MoU pertama pada 17 Ogos 2017.

 

“Susulan daripada kerjasama tersebut, program TNR mula dilaksanakan oleh MBPP pada 1 Mac 2018 sebagai pendekatan yang lebih berkesan dan berperikemanusiaan dalam mengawal populasi anjing liar dan terbiar,” ujarnya.