GEORGE TOWN – Astaka Kota Selera dekat Padang Kota, berdekatan Fort Cornwallis, kini kembali beroperasi sepenuhnya selepas menjalani proses pembinaan semula sebagai sebahagian daripada Program Penambahbaikan North Seafront.
Dalam tinjauan oleh wartawan Buletin Mutiara, M. DANESWARAN dan jurugambar, LAW SUUN TING baru-baru ini mendapati astaka tersebut menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung sejak dibuka pada 2 Jun lalu.
Bagi peniaga ais kacang, JALIL SHAHUL HAMEED yang sudah berniaga di situ selama 45 tahun, beliau meluahkan rasa bangga apabila perniagaan di astaka baharu mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

“Saya memulakan perniagaan dari jam 11 pagi hingga 9 malam, dan sambutan pelanggan paling tinggi adalah pada waktu tengah hari dan petang.
“Konsep terbuka ini sangat bagus kerana memberi keselesaan kepada pelanggan, tetapi saya berharap lebih banyak kipas dapat dipasang untuk mengatasi keadaan panas, terutamanya pada waktu puncak,” ujarnya.
Menurut beliau, pembaharuan ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman pelanggan tetapi juga membantu peniaga lama seperti dirinya untuk terus berkembang di lokasi ikonik ini.
Bagi pelanggan, FADILAH DAUD pula, beliau sanggup datang dari Teluk Kumbar untuk mencuba makanan di Astaka Kota Selera yang baru beroperasi semula.

“Tempat ini sangat selesa, bersih dan luas. Selalunya saya makan tengah hari di tempat lain, tetapi hari ini saya mahu mencuba menu menarik di sini bersama keluarga saya,” katanya ketika ditemui.
Fadilah turut memuji suasana astaka yang lebih moden dengan pelbagai pilihan gerai makanan yang menawarkan hidangan tempatan.
Menurutnya, kemudahan seperti surau dan tandas yang mesra pengguna menambah nilai kepada pengalaman pengunjung, menjadikan astaka ini pilihan terbaik untuk menjamu selera.

“Ruang makan yang luas dan susunan gerai yang kemas memudahkan pengunjung untuk membuat pilihan makanan, malah tempat ini sesuai untuk dijadikan lokasi bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan,” tambahnya lagi.
Beliau turut berharap agar Astaka Kota Selera akan terus menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong, serta menjadi tempat yang bukan sahaja menawarkan makanan yang enak tetapi juga pengalaman yang menyenangkan.
